Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
PUTRAJAYA, 14 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju menaikkan bantuan one-off Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa daripada RM400 kepada RM500 mulai tahun depan selepas mengambil kira permintaan mahasiswa Anak Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan sebanyak RM100 itu diluluskan susulan permohonan yang dikemukakan mahasiswa secara langsung dalam sesi Townhall sempena Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026.

Menurut beliau, keputusan berkenaan akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027 sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban kewangan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.
“Ada yang Tok Wan luluskan serta-merta. Sebagai contoh, sebelum ini Kerajaan Negeri memberi bantuan one-off sebanyak RM400, tetapi tahun depan mereka minta dinaikkan kepada RM500.
“Tadi Tok Wan telah umumkan perkara itu akan dimasukkan dalam belanjawan tahun depan, bermakna mereka akan mendapat bantuan sebanyak RM500 berbanding RM400 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, keputusan itu membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa terbuka mendengar pandangan dan cadangan mahasiswa, khususnya dalam usaha memperkukuh kebajikan serta pembangunan modal insan Anak Pahang.

Selain bantuan kewangan, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan menerusi Yayasan Pahang bagi membuka lebih banyak peluang kepada Anak Pahang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dalam masa sama, peluang pembangunan kemahiran dan kebolehpasaran graduan terus diperkasakan menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk melalui Pahang Skills, Pahang Talent Development dan Akademi Rel Pahang. -PAHANGMEDIA

