Oleh: Ain Nadhirah Basha & Ummul Qistina Sofea
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 25 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkasakan peranan koperasi kariah masjid sebagai pemangkin ekonomi ummah menerusi Program Intervensi Tadbir Urus dan Pembangunan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata program ini dilaksanakan bagi memperkukuh aspek tadbir urus, pengurusan dan pembangunan koperasi kariah masjid di negeri ini.
“Alhamdulillah, setakat ini seramai kira-kira 120 peserta telah dijemput dan sebanyak 87 Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang telah ditubuhkan. Ini merupakan antara asas kepada pihak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan serta menggerakkan koperasi-koperasi ini secara bersama.

“Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Pahang telah mengumumkan bajet tahun 2026 iaitu sebanyak RM600,000 yang telah diperuntukkan kepada kariah masjid ini untuk mereka melaksanakan beberapa aktiviti, terutama sekali dalam memperkasa ekonomi ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Program Intervensi Tadbir Urus dan Pembangunan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 di sini.
Beliau turut berharap koperasi kariah masjid di seluruh negeri terus diperkasakan agar mampu memberi impak lebih besar kepada masyarakat setempat serta mencapai pengiktirafan di peringkat negeri dan nasional.
“Harapan pihak Kerajaan Negeri adalah untuk melihat koperasi-koperasi kariah masjid ini dipertingkatkan dan menjadikan kejayaan serta memacu ekonomi yang lebih efisien, bukan sahaja di kariah masing-masing malah di peringkat negeri dan negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

