Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahfitri Zulkifli
ROMPIN, 08 NOVEMBER 2026 : Kehadiran kereta kebal dan aset ketenteraan berskala besar menjadi antara tarikan utama Karnival SEMARAK Bukit Ibam 2026 yang dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, setakat ini kira-kira 25,000 pengunjung telah hadir memeriahkan karnival berkenaan yang berlangsung sejak 5 November lalu.
“Sepanjang tempoh 5 hari, sehingga sekaranglah, hari ini daripada bermula, lebih kurang dalam 25,000 orang dijangkakan. Sehingga berakhirnya program ini, saya rasa mungkin melebihi 30,000 kehadiran,” katanya selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Karnival SEMARAK Bukit Ibam 2026 di Padang Awam Majlis Daerah Rompin, di sini, hari ini.

Tambahnya, penganjuran karnival julung kali itu bukan sahaja menawarkan pelbagai aktiviti kepada masyarakat, malah menjadi platform terbaik untuk kerajaan menyampaikan maklumat serta inisiatif yang disediakan kepada rakyat.
“Dan saya lihat program ini cukup baik kerana di sinilah sebenarnya, inilah platform terbaik untuk pihak kerajaan menyampaikan segala maklumat-maklumat dan juga inisiatif-inisiatif yang kerajaan sediakan di peringkat Kerajaan Negeri,” katanya.
Antara kelainan yang mencuri perhatian pengunjung ialah penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pameran dan demonstrasi aset ketenteraan termasuk kereta kebal yang pertama kali dibawa masuk ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam.

Penyelaras DUN Bukit Ibam, Encik Mohd Azren Shaharudin berkata, penglibatan badan beruniform itu merupakan antara usaha penganjur untuk memberikan pengalaman berbeza kepada masyarakat selain memperkenalkan peranan agensi berkenaan kepada orang ramai.
“Yang kedua, kita nak tunjuk pada rakyat bahawa dalam pentadbiran ini, dia ada selain Kerajaan Negeri, kita ada juga badan-badan macam badan beruniform ini yang ambil tahu dan jaga kepentingan rakyat,” katanya.
Menurutnya, SEMARAK membawa dua elemen utama iaitu ‘Sedia Bersama Masyarakat’ dan ‘Setia Bersama Rakyat’ dengan matlamat menghimpunkan tiga kelompok masyarakat utama di Bukit Ibam iaitu peneroka Felda, Orang Asli dan penduduk kampung tradisi.

Katanya lagi, penganjuran karnival itu juga diharap dapat diteruskan dengan penglibatan lebih banyak agensi beruniform pada masa akan datang termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Jadi elemen ‘Setia Bersama Rakyat’ itu kita akan cuba kombinasikan dengan badan-badan beruniformlah. Tahun ini kalau kita bersama dengan ATM, saya harap tahun depan jika kita dapat peluang yang sama, kita boleh libatkan pula pihak PDRM. Dan tahun berikutnya, mungkin pihak bomba, pihak APM… itu perancangan kitalah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, karnival yang berlangsung dari 5 hingga 9 November itu turut menampilkan pameran daripada Markas 4 Briged Mekanis Kuantan, Askar Wataniah 505 Pekan dan Rejimen Renjer dari Mentakab, selain pelbagai aktiviti komuniti, sukan rakyat, ceramah agama, persembahan hiburan serta jualan. -PAHANGMEDIA

