Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 25 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkasakan golongan wanita menerusi pelaksanaan Akademi SuriDana Pahang (ASUDA) iaitu sebuah inisiatif pembangunan wanita yang memberi fokus kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan, literasi kewangan dan penjanaan pendapatan.
Program Pencarian Peserta ASUDA Fasa 1 di daerah Bera berkenaan menyasarkan kehadiran 50 peserta wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk ibu tunggal, wanita B40, suri rumah, graduan menganggur dan golongan asnaf, sebelum 30 peserta dipilih untuk mengikuti program pembangunan yang berlangsung selama 9 bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, pelaksanaan ASUDA merupakan usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam menyediakan platform pembangunan yang mampu membantu wanita meningkatkan potensi diri serta memperkukuhkan kedudukan ekonomi keluarga.

“Program ini pertama kali diadakan di Negeri Pahang dan kita mulakan di Daerah Bera. Jika pelaksanaannya memberi impak positif, kita boleh teruskan Fasa 1 di daerah-daerah lain pula,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pahang melalui peruntukan yang disediakan bagi membantu wanita memperoleh peluang menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
“Ada peruntukan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang di bawah YAB Menteri Besar Pahang dan semua usaha ini dilaksanakan untuk membantu wanita di negeri ini memperoleh hasil, mencapai kejayaan serta membuka peluang bagi membantu ekonomi keluarga mereka,” katanya.
Mengulas cabaran wanita masa kini, beliau berkata ramai wanita khususnya suri rumah dan ibu tunggal berdepan pelbagai tanggungjawab dalam menguruskan keluarga serta membesarkan anak-anak.
“Cabaran yang kita lihat hari ini ialah ramai yang hadir terdiri daripada suri rumah tangga dan ibu tunggal. Tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Sebab itu kita turun ke lapangan bagi memberi peluang kepada mereka memperbaiki ekonomi keluarga,” katanya.
Program ASUDA menawarkan 11 modul pembangunan meliputi literasi kewangan, konsultan kewangan profesional, komunikasi dan jualan, kepimpinan, kerohanian, pembangunan sahsiah, pemasaran digital, pengurusan masa, bahasa dan komunikasi serta kerjaya dan etika profesional.
Melalui pelaksanaan program tersebut, Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai wanita yang berkemahiran, berkeyakinan dan mampu menjana pendapatan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri. -PAHANGMEDIA

