Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 08 NOVEMBER 2026 : Lebih 50,000 pengunjung memeriahkan Fiesta Tun Teja 2026 yang julung kali diadakan sebagai platform mengangkat sejarah dan kehebatan tokoh wanita Pahang, serta menjadi inspirasi kepada generasi muda khususnya golongan wanita.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran program berkenaan juga bertujuan memperkenalkan kekuatan, kelebihan serta keberanian tokoh wanita berkenaan agar nilai dan legasi yang ditinggalkan terus diwarisi oleh wanita serta anak gadis masa kini.

“…kita mengadakan Fiesta Tun Teja atas semangat seorang wanita daripada Pahang yang mempunyai kekuatan, ada kelebihan, keberanian.
“Jadi kita nak beritahu kepada anak-anak muda terutamanya, bahawa Tun Teja ini adalah wanita yang sangat terkenal daripada suatu masa dulu supaya apa yang diwarisi oleh beliau itu akan diwarisi oleh wanita-wanita ataupun anak-anak gadis yang ada sekarang ni.
“…di Pahang kita punya banyak kelebihan selain daripada alam semula jadi, jadi kita punya pemimpin, tokoh-tokoh seperti Tun Teja yang harusnya kita maklumkan kepada anak-anak muda di Pahang,” katanya.

Beliau turut menyatakan program tersebut juga akan diadakan secara tahunan memandangkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan pengisian program juga akan diteliti untuk penganjuran pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, sambutannya begitu baik sekali. Jadi saya cadangkan supaya program Tun Teja ini diteruskan pada tahun hadapan, di samping kita memikirkan program-program lain yang boleh memperkenalkan pelbagai kelebihan dan keistimewaan negeri Pahang.
“Kita tidak seharusnya menoktahkan apa yang kita buat pada hari ini. Kita seharusnya ada nilai tambah. Itu adalah perkara biasa yang saya selalu berkongsi dengan rakyat-rakyat. Dan saya percaya program begini ada faedahnya secara langsung ataupun tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Fiesta Tun Teja 2026 di Dataran Temerloh yang turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Fiesta yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 November ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti serta gerai jualan yang membuka peluang kepada pengusaha kecil untuk mengetengahkan produk dan perniagaan masing-masing.
Program berkenaan juga turut menghimpunkan masyarakat setempat serta pengunjung dari sekitar Temerloh dan luar Temerloh, sekali gus memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat. -PAHANGMEDIA

