Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 JUN 2026 : Mendapat pujian daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di laman aplikasi Threads membuatkan seorang pelukis cilik yang mempunyai autisme ringan memilih untuk melukis figura nombor satu negeri ini.
Tidak hanya itu, ia merupakan satu-satunya lukisan potret di atas kertas yang pernah dihasilkan oleh pelukis cilik, Adelia Azzahra Abdul Wafiy, 11, yang mesra dipanggil Adelia.

“Kenal Tok Wan (YAB Menteri Besar) sebab Tok Wan komen (dalam Thread) kata lukisan saya cantik,” kata Adelia yang turut menyimpan hasrat untuk bertemu dengan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Makmur Sungai Soi Jaya, di sini semalam.
Anak kepada pasangan Encik Abdul Wafiy Abdul Ghafar, 39, kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dan Puan Nur Amalina Othman, 36, fisioterapis di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu dikatakan menghasilkan lukisan potret YAB Menteri Besar Pahang pada 21 Mei lalu dengan mengambil masa kira-kira dua jam sahaja.
Menurut Puan Nur Amalina, minat Adelia terhadap seni lukis mula terserlah sejak anak sulung daripada dua beradik itu berusia empat tahun apabila gemar membuat contengan di atas kertas yang sudah mempunyai karakter dan identiti tersendiri.

Katanya, apabila berusia lima dan enam tahun, Adelia mula menghasilkan lukisan yang karikatur animasi yang diminatinya secara detail, sekali gus menunjukkan kecenderungan mendalam terhadap bidang seni.
“Lepas sahaja satu lukisannya yang viral di Thread itu, MB (YAB Menteri Besar) komen dan saya tunjuklah komen itu kepada Adelia, saya cakap yang komen ini MB, MB ini ketua Negeri Pahang, bos daddy (bapa Adelia). Jadi dia suka dan dia pun nak cuba lukis,” katanya memaklumkan Adelia mula dikesan mempunyai masalah autisme ringan ketika di tahun satu sekolah rendah.
Tambahnya, dia dan suami tidak menyangka Adelia memilih menghasilkan potret YAB Menteri Besar Pahang kerana sebelum ini dia tidak pernah melukis gambar manusia atau potret.
“Selama ini dia tidak pernah lagi hendak lukis gambar orang macam potret, selalu lukis kartus, jadi ini pertama kali dia lukis potret. Lepas dia lukis itu saya tanya kawan-kawan, cuba teka ini siapa? Semua cakap ini Tok Wan.
“Memang tak sangka (nak lukis gambar MB), kita tunjuk gambar MB, dia tengok dan dia ambil untuk lukis. Dia memang kalau hendak lukis, kita tidak boleh paksa, biar dia buat pilihan sendiri.
“Setakat ini macam itulah (satu-satunya lukisan potret dihasilkan). Emaknya sendiri pun dia tidak lukis,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, walaupun Adelia pernah mengikuti kelas seni lukis ketika kecil, pengajaran yang diterima hanyalah pada peringkat asas dan kebanyakan gaya serta teknik yang digunakan sekarang adalah hasil kreativiti sendiri.
“Sebenarnya Adelia lukis stailnya sendiri. Contengan dia apa semua sendiri. Dia memang ada pergi kelas melukis juga ketika di darjah tiga, tapi cikgunya ajar yang asas, tapi yang stail itu memang stailnya sendiri,” ujarnya.
Ujarnya, karya Adelia mula mendapat perhatian ramai selepas satu lukisan pemandangan tangga di tengah bangunan dan laut tular di media sosial sehingga ada individu yang menyatakan hasrat untuk membeli hasil lukisannya.
“Bila kami ‘post’ dalam TikTok, ramai juga hendak beli, tapi kami sahaja yang tidak tahu nak jual macam mana.
“Ini adalah lukisan pertama yang Adelia jual, ada je yang minta, cuma kami tidak tahu macam mana caranya. Ada juga dapat nasihat daripada orang untuk ‘hold’ dulu, nanti mungkin boleh masuk pameran dan dari pameran itu baru boleh cari pengumpul,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

