Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 NOVEMBER 2026 : “Kita orang ni askar, nak dapat bantuan luar ni jarang. Biasa bantuan daripada askar-askar je. So, rezekilah bagi saya,” kongsi Lans Koperal Mohamad Fareez Aziz yang merupakan salah seorang pasangan pengantin yang diraikan dalam Program Anggun Suri 2026 bagi Kem Tentera Negeri Pahang.
Lans Koperal Mohamad Fareez, 26, dan isterinya, Siti Noor Syazwani Abdul Razak, 22, berkata peluang menyertai program berkenaan hadir tanpa diduga selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan tentera mengenai inisiatif berkenaan.

“Saya rasa saya sebagai orang luar (Pahang), orang Johor tapi bermastautin di tempat orang, di Pahang ni, bila dapat macam ni, saya rasa negeri ni bagus lah ada jaga (kebajikan) walau saya ni sekadar sini tempat saya cari rezeki.
“Keluarga terkejut juga. Dia orang cakap, kahwin beramai macam mana tu? Jadi, semalam saya datang rehearsal, saya hantarlah gambar, dia orang kata grand (majlis ni). Dia orang pun macam surprised.
“Saya nak ucap terima kasih sebab program ni. Saya pun sebenarnya tak tahu ada program macam ni. Terima kasih. SSaya ingatkan macam bantuan-bantuan ni dapatkan orang-orang yang biasa tapi MB (Menteri Besar) cara sampai ke anggota macam ni. Saya rasa bersyukur,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi pasangan LK II TLS Mohd Muhidin Hassan, 26, dan Nik Norsyamina Rasyiqah Nik Ruslan, 24, yang menyifatkan peluang berkenaan sebagai pengalaman yang cukup bermakna dalam kehidupan mereka.
Mohd Muhidi yang berasal dari Semporna, Sabah berkata, pelbagai kemudahan disediakan termasuk pakej bulan madu sumbangan YAB Menteri Besar Pahang yang membolehkan mereka menikmati pengalaman istimewa tanpa perlu terlalu memikirkan soal perbelanjaan.
“Perasaan yang susahahlah mahu bagi tahu sebab happy sangat. Keluarga happy benda boleh menjimatkan kos macam lebih mudahlah. Banyak yang ditanggung oleh Dato’ Sri (Wan Rosdy) semua. Jadi kita tidak perlu fikir kos banyak-banyak lagi. Dari situ banyaklah menjimatkan.
“Terima kasih untuk Kerajaan Negeri Pahanglah menganjurkan program macam ni. Untuk Dato’ Sri, kami banyak-banyak berterima kasih sebab kalau bukan Dato’ Sri kami tidak pernah merasai suasana seperti ini,” katanya.

Sementara itu, LK JTP Mohamad Nur Aidil Mohamad Hashim, 28, dan isterinya, Nor Hamizah Alias, 27, turut menyifatkan program berkenaan sebagai inisiatif yang cukup bermanfaat khususnya dalam membantu mengurangkan kos perkahwinan.
Menurut Mohamad Nur Aidil, pelbagai kemudahan dan pakej istimewa yang disediakan bukan sahaja memberi penjimatan besar, malah membolehkan pasangan pengantin menikmati detik bersejarah itu dengan lebih tenang.
“Bagi saya program ni sangat bermanfaat kerana dapat menjimatkan dari segi kewangan dan banyaklah faedah bagi seseorang anggota tentera iaitu pakej istimewa yang sangat menariklah.
“Family sangat happy kerana program ni bukannya mudah. Jadi, kita orang adalah antara yang terpilih untuk mengikuti program ni. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan negeri Pahang kerana memberi dan menganjurkan program yang betul-betul sangat bermanfaat bagi pasangan pengantin dan saya harap program ni akan diteruskan,” katanya.
Program Anggun Suri 2026 khas ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera, selain memastikan kebajikan golongan berkenaan terus diberi perhatian menerusi inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada mereka dan keluarga. -PAHANGMEDIA

