Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
BERA, 18 JUN 2026 : Sesi Town Hall sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) 2026 Daerah Bera yang berlangsung di Dewan Serbaguna Felda Triang 1 di sini hari ini membuktikan Kerajaan Negeri mendengar denyut nadi serta permasalahan rakyat.
Penduduk yang menghadiri sesi Town Hall bersama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta ketua-ketua jabatan kerajaan menyifatkan program itu sebagai medium berkesan untuk menyuarakan pelbagai isu dan mendapatkan penjelasan secara terus daripada agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mengkarak, Encik Mohd. Fazli Abdul Manaf, 58, berkata, program yang dicetuskan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail itu memberi impak besar kepada rakyat terutama di peringkat akar umbi.
“Program ini satu-satunya program yang dicetuskan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, merupakan satu-satunya program yang sangat memberi makna dan kesannya serta hasilnya kepada rakyat bawahan.

“Dan kalau kita melihat dari segi soalan-soalan, pandangan dan juga perkongsian daripada orang awam, ia adalah satu-satunya suara di akar umbi yang saya kira… jabatan kerajaan, negeri atau persekutuan mendekati rakyat dan menyelesaikan isu-isu yang sebenarnya berbangkit di akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Tambahnya, program seumpama itu wajar diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi termasuk melibatkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.
“Ya, objektif program ini tercapai dan hasilnya akan kita nikmati setelah respon dan juga jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh Ketua-ketua Jabatan yang dijemput,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penerokawati Felda Triang 1, Puan Rozalina Arifin, 58, berkata, kehadiran barisan kepimpinan negeri dan ketua-ketua jabatan ke kawasan tersebut memberikan keyakinan kepada penduduk bahawa suara mereka tidak dipinggirkan.

“Kami berbesar hati kepada Dato’ Sri dan barisan-barisan di hadapan tadi yang mengambil inisiatif, mengambil segala apa yang kami luahkan, segala-galanya tadi, amat berkesan, amat orang kata, menusuk jiwa kami.
“Terima kasih kepada semua peringkat jabatan Kerajaan Negeri yang sudi turun ke kampung halaman kami,” katanya.
Sehubungan itu, Puan Rozalina berharap agar segala aduan dan permasalahan yang telah dikemukakan dapat diberikan tindakan susulan serta diselesaikan dalam kadar segera demi kesejahteraan penduduk setempat dan generasi akan datang.
“Besarlah harapan kami semua agar segala-gala rungutan atau segala-gala apa yang kami luahkan itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkinlah, untuk generasi-generasi akan datang juga,”katanya lagi.-PAHANGMEDIA

