Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 10 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 101 premis makanan di seluruh Pahang menerima pengiktirafan menerusi Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) sepanjang dua tahun pelaksanaannya, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan di premis tumpuan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif bagi memastikan premis makanan di lokasi strategik sentiasa berada pada tahap kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.

“Program Destinasi Makan-Makan Selamat ini merupakan pelan tindakan di bawah Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan bagi memastikan premis-premis makanan di lokasi strategik dan menjadi tumpuan pelancong berada dalam keadaan bersih serta selamat untuk semua pengunjung.
“Pada tahun lepas kita dah ada 52 penerima di semua daerah dan tahun ini kita tambah lagi 49. Jadi, jumlah keseluruhan sudah mencapai 101 penerima dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) Tahun 2026 sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Tun Razak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan pengusaha premis makanan yang menyertai DMMSNP mendapatkan Sijil Pengesahan Halal sebagai nilai tambah bagi meningkatkan keyakinan pengunjung.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Pahang yang turut terlibat dalam jawatankuasa pelaksanaan program tersebut.

“Alhamdulillah, pada tahun lepas kita telah dapat memberikan Sijil Halal ini kepada sembilan premis dan sembilan lagi pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 18 premis yang mendapat Sijil Halal.
“Kita menggalakkan kedai, gerai ataupun restoran untuk mendapatkan Sijil Halal ini,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pemilikan Sijil Halal bukan syarat wajib untuk menyertai DMMSNP, namun pengusaha digalakkan mendapatkannya kerana mampu memberikan kelebihan dari segi keyakinan dan kepercayaan pengunjung terhadap premis masing-masing.
“Sijil Halal ini bukan sesuatu yang diwajibkan, tetapi kita menggalakkan pengusaha untuk mendapatkannya kerana ia memberikan kelebihan serta lebih meyakinkan pengunjung,” katanya. -PAHANGMEDIA

