Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 18 JUN 2026 : Negeri Pahang merekodkan agihan zakat dan wakaf sebanyak RM273 juta pada tahun 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 159,000 penerima di seluruh negeri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi Haji Othman, antara yang utama menerima manfaat tersebut ialah Bantuan Golongan Fakir Miskin, Dermasiswa dan Pendidikan, Elaun Pegawai Masjid, Guru al-Quran dan Guru Tahfiz, Program Dakwah dan Pemantapan Asnaf serta Program Pembangunan Asnaf.
“Antara yang utama mendapat manfaat daripada agihan zakat bagi tahun lalu adalah Bantuan golongan Fakir Miskin sebanyak RM 132.4juta; Dermasiswa dan Pendidikan sebanyak RM 42.9 juta; Elaun Pegawai Masjid, Guru Quran dan Guru Tahfiz sebanyak RM 17.4 juta; Program Dakwah dan Pemantapan Asnaf sebanyak RM 8.7 juta; dan Program Pembangunan Asnaf sebanyak RM 3.0 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang Muharam 1448H di Masjid Al-Falah, Sungai Isap 2, hari ini.
Tambahnya, prestasi wakaf tunai pada tahun 2025 adalah sangat positif dengan kutipan sebanyak RM7.6 juta melibatkan seramai 10,986 pewakaf.
“Prestasi Wakaf Tunai pada tahun 2025 pula adalah sangat positif iaitu sebanyak RM7.6 juta dengan bilangan pewakaf seramai 10,986 orang.
“Selain itu, wakaf hartanah yang diterima adalah sebanyak 63 aset yang terdiri dari tanah dan bangunan dengan nilai melebihi RM11.0 juta.
“Pada tahun 2025 agihan dana wakaf adalah berjumlah RM 3,962,933.03 dan telah diagihkan kepada 4 kategori berikut iaitu keagamaan sebanyak RM 2,395,627.06; sosial sebanyak RM 870,592.97; pendidikan sebanya RM 634,313.00; dan kesihatan sebanyak RM 62,400.00,” katanya
Dalam pada itu, beliau menyeru umat islam di Negeri Pahang agar menjadikan bulan zakat dan wakaf sebagai platform meningkatkan komitmen dalam menunaikan zakat dan wakaf.
“Saya menyeru seluruh umat Islam di Negeri Pahang agar menjadikan Bulan Zakat dan Wakaf ini sebagai titik permulaan untuk meningkatkan komitmen kita dalam berzakat dan berwakaf.
“Kepada para penjawat awam dan pekerja swasta yang belum menyertai skim potongan zakat gaji, marilah kita mengambil peluang ini untuk melaksanakannya,” katanya.
Pada majlis yang sama, lima pembayar zakat perniagaan menyerahkan zakat kira-kira RM400,000, manakala lapan penerima agihan menerima bantuan sebanyak RM150,000 dan lima penerima manfaat wakaf menerima sumbangan bernilai RM152,500. -PAHANGMEDIA

