Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 JUN 2026 : Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tahfiz Negara bagi menyelaras hala tuju pelajar tahfiz di seluruh negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, penubuhan ini merupakan aspirasi kepada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang bermula sejak 2016.
“Melalui dasar ini, sistem pendidikan tahfiz diarusperdanakan agar tidak lagi bersifat terpencil, sebaliknya diintegrasikan ke dalam agenda pendidikan negara yang lebih menyeluruh. Kini, kerajaan sedang memperhalusi impak serta keberkesanan pelaksanaannya demi menambah baik DPTN 2.0.

“Dalam kerangka ini, beberapa inisiatif penting telah diperkenalkan, antaranya TVET Tahfiz, Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap, Skim Pembiayaan Huffaz, Mushaf Al-Quran Huffaz melalui Nasyrul Quran, Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia, serta kerjasama strategik dengan IPT, IPTS dan institut kemahiran.
“Kerajaan juga telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Tahfiz Negara sebagai satu langkah besar bagi menyelaras hala tuju, model pendidikan, standard pengiktirafan dan laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata pendidikan tahfiz merupakan medan bagi melahirkan generasi membina akhlak, disiplin, ilmu dan kepimpinan yang perlu diperkukuhkan melalui dasar yang jelas dan tersusun.
“…pendidikan tahfiz adalah satu kekuatan besar umat dan negara. Ia bukan sekadar medan hafazan, tetapi medan membina akhlak, disiplin, ilmu dan kepimpinan. Di sinilah lahirnya generasi yang bukan sahaja mengingati ayat-ayat Allah, tetapi dibentuk untuk memahami tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara.
“Sebab itu, pendidikan tahfiz tidak boleh lagi dilihat secara kecil-kecilan atau berjalan secara terpisah. Ia mesti diperkukuh dengan dasar yang jelas, pengiktirafan yang tersusun, laluan akademik yang lebih luas, kemahiran yang relevan dan sokongan pembiayaan yang membolehkan anak-anak huffaz melangkah lebih jauh,” katanya.

Beliau turut melahirkan harapan agar pendidikan tahfiz di negara ini diiktiraf dalam sistem yang lebih tersusun bagi memastikan masa hadapan pelajar lebih terjamin.
“Saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Mereka bukan sahaja perlu diraikan dalam majlis, tetapi mesti diiktiraf dalam sistem.
“Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Huffaz Pahang 2026 di Yayasan Pahang yang turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. -PAHANGMEDIA

