Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menggesa Zoo Taiping & Night Safari mengambil tindakan segera untuk membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun ke Malaysia.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kesemua gajah ini dapat ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka seleps dibawa pulang.
“Saya mengambil maklum dan mengikuti perkembangan melibatkan tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
“Berdasarkan gesaan YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pelbagai pihak termasuk NGO dan rakyat Malaysia tentang keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara.
“Sehubungan itu, saya juga turut menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia dan seterusnya ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka,” katanya.
Beliau berkata Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga memiliki kepakaran serta persekitaran yang sesuai berkenaan haiwan yang merupakan khazanah negara ini.
“Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.
“Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” katanya.
Ketiga-tiga gajah berkenaan dihantar ke Jepun pada 10 Mac lepas dalam sebahagian perancangan konservasi yang telah dimulakan lebih 10 tahun lepas melalui perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo. -PAHANGMEDIA

