Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 30 APRIL 2026 : Pembangunan pusat beli-belah AK Antara Signature di Genting Highlands bukan sahaja memperkukuh sektor komersial, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang secara menyeluruh.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, negeri ini mempunyai landskap ekonomi yang kukuh, sekali gus menjadikan kemunculan pembangunan tersebut sebagai komponen penting dalam ekosistem ekonomi negeri.
“Kita mempunyai landscape yang kukuh di negeri kita dan oleh sebab itu, AK Antara Signature Mall muncul sebagai satu komponen penting dalam ekosistem ekonomi negeri. Pusat beli belah ini bukan sekadar tempat membeli belah, ia adalah platform ekonomi, destinasi gaya hidup dan pemangkin kepada aktiviti komersial bernilai tinggi.

“Oleh sebab ramai pelancong datang ke negeri ini dan mereka berbelanja di negeri kita dan dalam masa yang sama lebih banyak jenama dan pelabur yang akan datang ke Negeri Pahang.
“Yang seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. Saya fikir ini adalah model pembangunan yang nak kita tunjukkan kepada rakyat Pahang dan negara ini. Pembangunan yang memberi kesan berganda pada ekonomi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian AK Antara Signature Mall di Genting Highlands, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Tambahnya, kekuatan perpaduan dalam negeri ini menjadi asas utama kepada kestabilan sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang ke negeri ini.

“Kita telah diiktiraf sebagai indeks perpaduan nombor satu di negara ini. Yang pentingnya, tanpa perpaduan tidak wujud kestabilan. Tanpa kestabilan tidak wujud keyakinan pelabur. Tanpa keyakinan tidak wujud pembangunan seperti mana yang kita saksikan pada hari ini.
“Dan ini juga menunjukkan bahawa keyakinan pelabur untuk datang ke Negeri Pahang kerana kita memiliki banyak kelebihan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar rakyat Pahang terus memperkukuh perpaduan bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang ke Pahang, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan pilihan utama.
“Saya ingin menyeru supaya kita teruskan dan kita tingkatkan perpaduan sesama kita di negeri ini supaya ramai lagi pelabur-pelabur akan datang ke Negeri Pahang.
“Kita harap supaya destinasi pelancongan di Genting Highlands ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana kita mahu Pahang menjadi destinasi (pelancongan) pilihan utama,” katanya. -PAHANGMEDIA

