Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 27 APRIL 2026 : Rezeki buat pasangan baharu berkahwin apabila akhirnya berjaya memiliki kediaman sendiri menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang yang merupakan hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kediaman mampu milik buat rakyat negeri ini.
Pasangan terbabit, Puan Nurul Mas Aqidah Mohamad Azahar, 33, dan suaminya, Encik Ahmad Syukri Shaiful Yazan, 36, berkata, penantian tiga tahun membuahkan hasil apabila hari ini pasangan itu menerima kunci rumah PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, di sini hari ini.

Kata Puan Nurul Mas Aqidah, sebelum ini dia dan suami tinggal bersama ahli keluarga termasuk tiga orang adik perempuan Muadzam Shah sekali gus menimbulkan ketidakselesaan buat pasangan terbabit.
“(Sekarang) Alhamdulillah, (rumah sendiri) memang selesa sangatlah sebab yalah kita baru kahwin, nak juga ada rumah sendiri semua kan. Jadinya memang kira rezekilah,” katanya memaklumkan baru mendirikan rumah tanggan sekitar tujuh bulan lalu.
Dia dan suami turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas peluang yang diberikan kepada rakyat memiliki rumah pada harga mampu milik.
“Saya nak mengucapkan banyak terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri sebab bagi peluang untuk kami rakyat Pahang untuk membeli rumah dengan harga yang murah.
“Kalau compare (banding) dengan negeri lain tu memang tak dapatlah harga RM150,000 ini. Dan sebagai penjawat awam juga saya memang dapat diskaun 10 peratus itu kiranya memang sangat berbaloilah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi, dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Muadzam Shah, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penerima kunci rumah PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi, Puan Suhaida Suhaimi, 38, berkata, dia dan suami, Encik Mohd Hafizan Md Saad, 32, menunggu kira-kira dua tahun sebelum berjaya memiliki rumah tersebut.

Menurutnya, sebelum ini dia sekeluarga menetap di Kemaman, Terengganu kerana tuntutan kerja sebelum merancang pulang ke kampung halaman di Felda Keratong berikutan telah berjaya memperoleh kediaman sendiri.
“Merancang untuk pindah ke sinilah (Muadzam Shah). Lepas ini nak selesaikan semua (urusan), hantar apa borang tukar, semua,” katanya yang merupakan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ibu dua anak itu turut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya memiliki rumah sendiri yang berhampiran keluarga.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang sebab permohonan ini diluluskan dan alhamdulillah rezeki dipermudahkan,” katanya lagi.
“Alhamdulillah. Bersyukur sangat, tak tahu nak kata apa. Bertuah orang Pahang memang sangat bertuah… banyak projek perumahan Pahang (mampu milik),” ujarnya. -PAHANGMEDIA

