Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Belanjawan Pahang 2026 bersandarkan tujuh teras utama yang menjadi nadi pembangunan Negeri Pahang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pembentangan belanjawan ini juga selaras dengan Aspirasi Pahang 1st dan visi besar negeri.
“Selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, belanjawan ini adalah kesinambungan kepada visi besar negeri iaitu sebuah pelan tindakan yang dirancang, bersifat menyeluruh serta bersandarkan pada tujuh teras utama yang menjadi nadi pembangunan negeri.
“Tujuh Teras Utama Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2026 ialah, pertama, memartabatkan agama Islam; memelihara institusi DiRaja dan mengangkat warisan budaya.
“Kedua, melonjak ekonomi negeri; ketiga, meningkatkan taraf pendidikan dan TVET; keempat, membentuk rakyat berjati diri dan melahirkan pemimpin masa hadapan.
“Kelima, memastikan tadbir urus dinamik, berprestasi tinggi dan berintegriti; keenam, menjamin kelestarian alam; dan ketujuh, menyejahterakan kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata inti pati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang 2026 bertemakan Pahang 1st : Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan telah dipilih.
“Melalui pendekatan yang ikhlas dan berteraskan tadbir urus yang baik, Kerajaan Negeri beriltizam membawa Pahang ke mercu kemajuan yang mampan dengan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan.
“Bersandarkan kepada perspektif ini, maka tema Pahang 1st : Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’ telah dipilih menjadi inti pati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang untuk tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

