Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM117.25 juta bagi memperkukuh pengurusan dan pembangunan 18 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada jumlah itu, RM99.86 juta diperuntukkan bagi pengurusan, manakala RM17.39 juta untuk pembangunan.
Katanya, Kerajaan Negeri turut memastikan keperluan tenaga pengajar di SMAN mencukupi dengan seramai 512 guru ditempatkan bagi mengendalikan 256 kelas di kesemua 18 sekolah berkenaan.
“YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar telah membentangkan bajetnya dan telah menegaskan bahawasanya sebanyak RM117.25 juta diperuntukkan untuk Sekolah Menengah Agama kita di Negeri Pahang dan juga daripada jumlah itu RM99.86 juta untuk pengurusan dan RM17.39 juta untuk pembangunan.
“Sebagaimana Kementerian Pendidikan menetapkan satu kelas antara 42 hingga 45 orang pelajar dengan dua orang guru, begitu juga di sekolah menengah agama kita, kita letakkan dua orang guru bagi setiap kelas yang mempunyai sekitar 30 hingga 45 orang pelajar.
“Kita ada 256 kelas semua di seluruh Pahang daripada 18 buah sekolah ini dan kita juga memiliki 512 orang guru yang kita agihkan kepada semua kelas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pulau Manis, YB Tuan Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kebajikan guru SMAN turut diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri menerusi penyeragaman kadar gaji dan elaun dengan kadar yang diterima guru di bawah Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut meneruskan usaha memperkukuh status perjawatan guru yang sebelum ini dilantik secara kontrak atau sukarela melalui ASPA.
Katanya, seramai 100 guru telah diserap sebagai guru Contract of Service (COS) pada 2019, manakala 41 lagi menerima perjawatan pada Oktober lalu.
“Seramai 100 orang telah kita jadikan guru-guru COS. Ini sebenarnya pada tahun 2019 dan terbaru ini seramai 41 orang dalam bulan Oktober kita telah berikan perjawatan.
“Memang ada beberapa individu, sekitar 30 orang, kerana isu kelayakan ketika mengemukakan permohonan dan ditemu duga masih belum memenuhi syarat.
“Namun demikian, pada 16 November baru-baru ini kita telah mengeluarkan tawaran baharu bagi pelantikan guru-guru di sekolah menengah agama untuk dilantik kembali,” katanya. -PAHANGMEDIA

