Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang tidak akan mengabaikan kebajikan mangsa yang berdepan kejadian banjir berulang meskipun mereka tidak layak menerima bantuan kali kedua daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam tempoh tiga bulan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan terus memastikan kebajikan mangsa terpelihara serta mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau keadaan mangsa serta mengemukakan cadangan dan pandangan kepada Kerajaan Negeri berhubung keperluan bantuan.
“Tetapi daripada segi Kerajaan Negeri, sekiranya berlaku lagi banjir sebegini, Kerajaan Negeri tidak akan mengabaikan kebajikan mereka. Dan JKM akan sentiasa memantau dan akan beri cadangan, pandangan kepada Kerajaan Negeri dan sekiranya ianya benar-benar memerlukan bantuan, Kerajaan Negeri akan pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Tuan V. Arumugam A/L Veerappa Pillai pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, ketetapan pemberian bantuan NADMA yang hanya diberikan sekali dalam tempoh tiga bulan merupakan arahan Kerajaan Persekutuan.
“Maknanya dalam tempoh tiga bulan bantuan diberikan kalau berlaku banjir lagi, NADMA tidak akan beri bantuan. Tetapi kita di negeri kita akan terus memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir ni akan dipelihara dan kita akan bantu sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi musim tengkujuh memandangkan kejadian banjir, sama ada banjir kilat atau ketika Monsun Timur Laut (MTL), kerap berlaku di Pahang.
Katanya, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan menyelaras persiapan bersama agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi lain.
Beliau berkata, seramai 6,929 anggota daripada 14 jabatan dan agensi digerakkan bagi menghadapi musim tengkujuh, selain kesiapsiagaan 1,205 aset darat dan 222 aset air.
“Dan begitu juga akan diadakan pemantauan kawasan berisiko banjir, ada 572 hotspot atau cerapan banjir,” katanya lagi.
Menurutnya, sebanyak 878 pusat pemindahan sementara (PPS) turut disediakan dengan kapasiti menampung 184,820 mangsa pada satu-satu masa.
Pahang turut mempunyai pusat pemindahan tetap yang menyediakan kemudahan lebih selesa kepada mangsa banjir, termasuk pengasingan ruang lelaki dan wanita, tempat memasak serta surau.
Beliau turut memaklumkan bahawa taklimat mengenai kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh dijadualkan dipersembahkan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 30 November ini. -PAHANGMEDIA

