Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM102.83 menerusi Belanjawan Pahang 2026 dalam usaha mengukuhkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar bagi memperkasa usaha pemuliharaan hutan dan biodiversiti negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan akan diserahkan kepada agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Majlis Biodiversiti Pahang, Perbadanan Taman Negeri Pahang serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM65.08 juta disediakan khusus bagi pengurusan, pembangunan program dan projek pemuliharaan sumber ekologi melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang termasuk pengurusan kawasan sensitif, aktiviti restorasi serta inisiatif meningkatkan daya tahan ekosistem negeri.
“Pahang merupakan negeri yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dengan 2.06 juta hektar atau 57.07 peratus merupakan kawasan berhutan daripada 3.59 juta hektar keseluruhan keluasan negeri Pahang.
“Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa berpendirian bahawa hutan bukan sekadar aset ekonomi tetapi nadi ekologi dan warisan generasi masa depan,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM780,000 di bawah peruntukan pembangunan bagi melaksanakan projek-projek pengurusan sumber hutan serta program perlindungan hutan.
“Langkah ini adalah manifestasi kesungguhan berterusan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan kelestarian biodiversiti Pahang,” ujarnya.
Katanya lagi, sumber mineral merupakan penyumbang penting kepada hasil negeri justeru Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM150 juta pada tahun hadapan melalui pengurusan mineral secara teratur dan telus.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri melalui Pahang Mining Corporation (PMC) memperuntukkan RM4.5 juta bagi menyokong pembangunan industri mineral dan memastikan sektor mineral terus berkembang tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Seiring dengan itu, sebanyak RM1.65 juta diperuntukkan kepada Projek Pengembangan Industri Mineral meliputi projek pengurusan sisa lombong, kajian pra-kebolehlaksanaan kaedah pengangkutan mineral baharu dan kajian potensi serta deposit mineral negeri Pahang,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

