Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 OGOS 2025 : “Saya mengalu-alukan kehadiran mereka untuk datang ke Jelai,” itu kata YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berhubung penganjuran program Hogoh Jelai oleh pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.
Beliau berkata peserta program yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan juga boleh melihat sendiri pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
“Saya mengalu-alukan kehadiran mereka untuk datang ke Jelai supaya mereka boleh melihat pembangunan di Jelai. Mereka boleh melihat masjid di Jelai macam mana, stesen bas di Jelai macam mana, mereka boleh melihat gerai-gerai yang telah dibangunkan.
“Mereka boleh pergi meninjau projek ekonomi Agropolitan Gahai dan mereka juga boleh datang ke kampung saya, Kampung Tanjung Gahai iaitu pernah dinobatkan sebagai kampung lestari terbaik di peringkat negeri, dan juga pernah mendapat johan di peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, program Himpunan 30K Jentera Pas Pahang juga dilihat dapat memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Dan saya berharap pada hari tersebut, hari yang mereka datang, supaya kedai-kedai di Jelai dapat menyediakan makanan yang sedap-sedap untuk menjamu mereka.
“Dalam masa yang sama mereka kalau boleh pergi melihat galeri saya, Galeri MB (Menteri Besar). Di dalam galeri tersebut mereka dapat melihat data-data saya bertanding dari 2004, majoriti saya berapa, 2008 berapa, 2022 berapa,” katanya.
Beliau berkata beliau tidak memahami tujuan sebenar tujuan perhimpunan ini diadakan di Jelai oleh pihak pembangkang memandangkan beliau memiliki rekod cemerlang pada setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) sejak lima penggal.
“Saya dah bertanding lima penggal, jadi mereka dapat melihat dan angka tidak pernah berbohong. Saya minta mereka lihat kerana majoriti selama lima penggal saya bertanding itu, setiap kali ada PRU (Pilihan Raya Umum), majoriti saya bertambah.
“Ini amat jelas apa yang mereka amanahkan kepada saya sebagai wakil rakyat, apa yang saya buat mendapat kepercayaan dan keyakinan kepada mereka dan mereka terjemahkan kepada setiap kali berlaku PRU. Jadi saya tidak faham apa tujuan mereka untuk datang ke Jelai tapi saya mengalu-alukan (kehadiran mereka),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Pas yang bakal mengadakan program himpunan besar-besaran Hogoh Jelai. -PAHANGMEDIA

