Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Belanjawan Negeri Pahang 2027 disifatkan lebih komprehensif dan menyeluruh apabila pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan bagi memenuhi keperluan rakyat, termasuk pembangunan sukan, belia, kebajikan anak Pahang di perantauan serta penghargaan kepada pengamal media.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan melebihi RM18 juta bagi pembangunan sukan dan lebih RM4 juta untuk pembangunan belia memperlihatkan perhatian Kerajaan Negeri terhadap kedua-dua sektor berkenaan.
Menurut beliau, peruntukan pembangunan sukan itu juga tidak termasuk hampir RM1 juta yang disediakan khusus bagi menaik taraf infrastruktur sukan menembak susulan pencapaian cemerlang atlet Pahang dalam acara berkenaan.
“Sebanyak lebih RM18 juta diperuntukkan untuk pembangunan sukan di negeri ini. Dan ini tidak termasuk peruntukan khas hampir RM1 juta untuk menambah baik infrastruktur sukan menembak setelah Pahang mengungguli SUKMA sebagai johan keseluruhan menembak untuk sembilan edisi berturut-turut.
“Dan baru-baru ini, atlet Cheah Zen Hong berjaya dinobatkan sebagai olahragawan lelaki terbaik SUKMA di Selangor. Ini satu pengiktirafan besar kepada sukan menembak.
“Dan peruntukan yang cukup besar juga disalurkan untuk pembangunan belia dan anak muda di negeri ini, lebih RM4 juta diperuntukkan untuk pembangunan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kebajikan anak Pahang yang menetap di luar negeri menerusi peruntukan kira-kira RM2.5 juta, selain menyediakan RM300,000 sebagai penghargaan kepada pengamal media.
“Sebagai menghargai Perantau Anak Pahang sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk belanjawan kali ini khusus menyentuh soal kebajikan Perantau Anak Pahang. Maknanya, bukan sahaja rakyat Pahang yang berada dalam negeri ini, rakyat Pahang yang di luar sana akan juga dapat manfaat daripada belanjawan kali ini.
“Dan yang paling penting juga adalah bila mana ada peruntukan khas kali ini untuk penggiat media yang berada di luar sana. RM300,000 diperuntukkan sebagai menghargai jasa dan sumbangan penggiat media ini dalam mempopularkan polisi, inisiatif, yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk pengetahuan rakyat di dalam dan di luar negeri Pahang itu sendiri,” katanya.
Menurut beliau, Belanjawan Negeri Pahang 2027 turut membawa khabar gembira kepada penjawat awam negeri menerusi pengumuman bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan gaji serta Bantuan Khas Aidilfitri RM1,500.
Beliau berkata, kepelbagaian inisiatif yang diumumkan menunjukkan belanjawan berkenaan mengambil kira keperluan pelbagai segmen masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan tertentu.
Mengulas mengenai penerimaan belanjawan itu, beliau memaklumkan turut mendapat maklum balas positif daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk wakil kerajaan dan pembangkang.
“Apabila melihat belanjawan ini, saya mendapat respons yang cukup positif daripada Ahli-ahli Yang Berhormat tanpa mengira pihak kerajaan ataupun pembangkang.
“Secara peribadi, saya sangat gembira dan berpuas hati serta mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan kepimpinan Kerajaan Negeri kerana menyediakan peruntukan yang cukup besar, terutama bagi bidang media, belia, sukan dan Perantau Anak Pahang,” katanya.
Beliau berharap pelbagai peruntukan dan inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar, khususnya dalam memperkukuh pembangunan belia, sukan dan kebajikan masyarakat. -PAHANGMEDIA

