Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 OGOS 2025 : Permohonan maaf yang dibuat oleh pemilik dan pengasas Tanah Aina di Pahang, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil Sabri sepatutnya dibuat di semua saluran yang telah digunakan untuk memfitnah Kerajaan Negeri.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, ini kerana Kerajaan Negeri Pahang telah menanggung kesan daripada tindakan berkenaan.
“Dia (Shariffa Sabrina) minta maaf, tetapi dia tidak minta maaf seperti itu sahaja. Dia sepatutnya fire and fire, maknanya damage has been done.
“Jadi di mana saluran-saluran yang memfitnah Kerajaan Negeri, di situ dia harus memohon maaf. Contohnya, di salah satu media sosial atau arus perdana, di situ beliau mengeluarkan lontaran fitnah kepada Kerajaan Negeri, di tempat yang sama beliau harus memohon maaf.
“Contohnya kalau digunakan TV9, TV1 untuk memfitnah Kerajaan Negeri, beliau kena gunakan balik saluran itu untuk mohon maaf dan perkataan fitnah itu harus digunakan,” katanya.
Menurut beliau, permohonan maaf yang dibuat oleh Puan Sri Shariffa Sabrina di laman sosial itu dilihat tidak adil kepada Kerajaan Negeri setelah pihak berkenaan mengeluarkan kenyataan fitnah sebelum ini namun Kerajaan Negeri tidak menolak untuk mengadakan rundingan.
“Takkanlah bila beliau sudah hentam Kerajaan Negeri itu hari, kemudian hanya memohon maaf di laman sosial sahaja. Jadi, itu tidak adil kepada Kerajaan Negeri.
“Kita bersetuju, tetapi ada beberapa perkara yang beliau perlu akui bersama kerajaan negeri sebelum permohonan maaf itu diterima. Ini sekaligus menunjukkan beliau mengakui telah melakukan sesuatu yang tidak betul.
“Saya sudah mengatur agar YB. Penasihat Undang-undang Negeri mewakili saya dalam rundingan dengan beliau. Kita tidak pernah menolak rundingan, cuma cara pelaksanaannya perlu betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil Sabri kepada Kerajaan Negeri pada Selasa.
Permohonan maaf yang disampaikan menerusi satu klip video berdurasi tujuh minit 28 saat telah dimuat naik di platform TikTok miliknya yang turut merayu agar Kerajaan Negeri Pahang memberi pertimbangan menarik balik kesemua saman terhadapnya. -PAHANGMEDIA

