Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Penduduk Pulau Tioman terus menikmati tambang feri pada kadar rata RM40 bagi perjalanan pergi dan balik apabila Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM550,000 untuk meneruskan subsidi tiket feri menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan kos pengangkutan penduduk, selain memastikan akses perjalanan dari dan ke pulau peranginan itu terus terjamin.
“Bagi memudahkan akses ke Pulau Tioman, RM550,000 diperuntukkan untuk meneruskan subsidi tiket feri kepada penduduk Pulau Tioman.
“Melalui inisiatif ini, kadar tambang pergi dan balik ditetapkan pada kadar rata RM40 seorang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM40.4 juta bagi merancakkan sektor pelancongan Pahang yang merupakan antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan merangkumi pengurusan agensi pelancongan, pelaksanaan projek pembangunan serta usaha pemasaran dan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM21.6 juta disediakan sebagai geran mengurus kepada Tourism Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman dan Perbadanan Muzium Pahang.
Selain itu, RM13.75 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program dan projek pembangunan melibatkan Perbadanan Muzium Pahang sebanyak RM9.75 juta, Tourism Pahang (RM1 juta) serta Lembaga Pembangunan Tioman (RM3 juta).
Kerajaan Negeri turut menyediakan RM4.5 juta bagi mempergiat pemasaran dan promosi pelancongan, khususnya menerusi platform digital serta penganjuran program berimpak tinggi.
Antara program yang dirancang ialah Eco Pahang Global Tourism Exchange, Chini Fest dan Pahang Rail Tourism yang masing-masing menerima peruntukan RM500,000.
Sementara itu, Geran Padanan Digital Pelancongan Pahang 1st, Program Himpunan Golongan Pengusaha Camp Site dan Inap Desa Pahang 1st serta Program Pemerkasaan Pelancongan Agro dan Eko Pahang 1st masing-masing diperuntukkan RM1 juta.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mahu memastikan pertumbuhan ekonomi Pahang bukan sahaja dipacu oleh pelaburan dan pembangunan infrastruktur, malah turut membuka peluang kepada usahawan, petani, nelayan serta penggiat pelancongan untuk terus berkembang.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan setiap kemajuan ekonomi membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kesejahteraan hidup,” katanya. -PAHANGMEDIA

