Oleh : Syaherah Azmi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 7 OGOS 2025 : Seramai 200 golongan asnaf dari FELDA Sungai Kemahal menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang daripada FGV Holdings Berhad.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam dalam Majlis Sumbangan Kumpulan FGV Seikhlas Hati yang berlangsung di Masjid Saidina Ali, FELDA Sungai Kemahal, Triang, di sini.
Selain itu, FGV Holdings Berhad turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk replika cek bernilai berjumlah RM10,000 dan sebuah van jenazah bernilai RM150,000 kepada masjid berkenaan.

YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, penganjuran program ini membolehkan pelbagai bentuk sumbangan disalurkan secara terus kepada penerima.
“Dengan dapatnya kita berkumpul pada hari ini, banyak lagi bantuan-bantuan kita dapat salurkan. Jika ada keperluan-keperluan dan juga rakan-rakan yang mempunyai kesusahan atau mungkin kekurangan, kita berkongsilah,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan berkenaan.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa.
YB. Dato’ Amizar Abu Adam turut merakamkan penghargaan kepada pihak FGV Holdings Berhad atas sumbangan yang diberikan kepada golongan asnaf di FELDA ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak FGV atas penganjuran program yang cukup bermakna buat kita semua menerusi program Seikhlas Hati ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

