Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji serta BKK Aidilfitri RM1,500 menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 disambut penuh kesyukuran oleh penjawat awam negeri yang menyifatkan pemberian itu mampu meringankan beban kewangan, khususnya menjelang musim persekolahan dan perayaan.
Bagi Puan Nurfaizah Abdul Samad, 38, yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam perkhidmatan awam negeri, pemberian berkenaan amat bermakna dalam membantu menampung pelbagai komitmen keluarga.
Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau menyaksikan perubahan ketara dari segi pemberian bonus yang semakin memberi manfaat kepada penjawat awam negeri.

“Alhamdulillah, memang banyak perbezaannya berbanding dahulu dan pemberian ini sangat membantu kami, lebih-lebih lagi dengan pelbagai komitmen yang perlu ditanggung.
“Bonus ini boleh digunakan untuk persiapan anak-anak ke sekolah, keperluan sepanjang Ramadan dan sedikit sebanyak membantu persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas pemberian berkenaan yang disifatkan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan serta keperluan penjawat awam.
Sementara itu, Puan Noor Anis Aimie Jefri, 32, berkata pengumuman bantuan berkenaan bukan sahaja menggembirakan penjawat awam, malah menjadi suntikan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau yang mula berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang sejak 2015 turut menyaksikan peningkatan pemberian bonus dari semasa ke semasa.
“Memang kami semua sangat teruja dan berasa bangga menjadi penjawat awam negeri Pahang. Terima kasih kepada Tok Wan (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) dan Kerajaan Negeri atas pemberian ini.
“Terima kasih kepada Tok Wan sebab memahami kami sebagai penjawat awam di negeri ini dan sangat-sangat bersyukur dengan apa yang Tok Wan buat pada kami semua dan semoga Tok Wan kekal sihat,” katanya.
Pemberian BKK dua bulan gaji dan BKK Aidilfitri RM1,500 itu merupakan antara pengumuman yang mendapat perhatian penjawat awam menerusi pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027 hari ini. -PAHANGMEDIA

