Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 10 JUN 2025 : Projek menaik taraf dan membaik pulih landasan keretapi serta kerja-kerja berkaitan dari Stesen Keretapi Gemas, Negeri Sembilan ke Mentakab, Pahang (Pakej A) kini telah mencapai 58 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, projek yang melibatkan kos berjumlah RM40,652,421.46 itu membabitkan jarak keseluruhan 123 kilometer (KM) merentasi dua negeri.

Katanya, bagi Negeri Sembilan, kawasan kerja bermula dari KM0.835 hingga KM72.000, melibatkan daerah Jempol dan Tampin, manakala di Pahang pula dari KM72.000 hingga KM123.835 melibatkan daerah Bera dan Temerloh, sepanjang 51KM.
“Untuk Pahang adalah sepanjang 51KM masih dalam pembinaan bermula sejak Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya sekitar November.
“Sebenarnya kerja-kerja baikpulih ini dilakukan kerana ada beberapa kerosakan disebabkan oleh banjir, ada cerun, paya dan sebagainya,” katanya kepada Pahang Media sempena lawatan tapak hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan, Dato’ Ir. Wan Hasnan Wan Musa yang turut memberi taklimat berkaitan status semasa projek tersebut.
Menurut YB. Dato’ Ir. Razali, antara kerja penting yang dilakukan adalah penggantian rel lama daripada jenis UC80 kepada rel baharu jenis UIC54 yang lebih kukuh serta mampu menampung beban lebih berat.
“Saya harap kepada pihak kontraktor dapat menyiapkan mengikut jadual sebab jika lambat siap akan merugikan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pengguna. Dan saya harap projek ini dapat dibuat mengikut masa dan spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang bersedia memberi kerjasama penuh dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
“Walaupun lokasi kerja di negeri ini, namun penguatkuasaannya berada di bawah JKR Negeri Sembilan. Beberapa isu turut dibangkitkan seperti kawasan berpaya dan masalah air bertakung.
“Kita akan memanggil pihak berkaitan untuk berbincang serta mencari penyelesaian tuntas bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan seperti mengalirkan air yang bertakung itu dan sekiranya dibiarkan, tanah akan jadi lembut dan akan menyebabkan mendapan di kawasan rel tersebut,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

