Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam menyokong penyelidikan yang sah dan mematuhi akta dengan merekodkan hampir 97 peratus kadar kelulusan permit kajian.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Bengkel Pemantapan Pengurusan Permohonan Kajian Negeri Pahang Tahun 2025 yang dijalankan ini dapat memperkukuh sistem penyelidikan biodiversiti negeri.

“Inisiatif ini amat signifikan dalam memperkukuh sistem penyelidikan biodiversiti negeri kita. Bengkel ini pastinya memberi nilai tambah yang amat besar dalam memantapkan proses penyelarasan, penilaian dan pengurusan permohonan kajian yang melibatkan data, lokasi, biodiversiti, sumber asli serta sumber maklumat strategik Negeri Pahang.
“Berdasarkan laporan Majlis Biodiversiti Pahang, sejak tahun 2022 hingga 2024, sebanyak 105 permohonan kajian telah dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal. Tahun 2022, sebanyak 40 kajian direkodkan, manakala pada tahun 2023, sebanyak 34 kajian direkodkan dan pada tahun 2024, sebanyak 31 kajian direkodkan, dengan tumpuan tertinggi pada kajian fauna sebanyak 17 kajian.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 70 permit telah diluluskan, iaitu hampir 97 peratus kadar kelulusan. Angka ini menunjukkan kesungguhan negeri dalam menyokong penyelidikan yang sah dan mematuhi Akta Akses Kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 di bawah Akta 795,” katanya.

Beliau berkata pengurusan permohonan kajian yang sistematik bukan sahaja akan mempercepatkan proses kelulusan tetapi juga memastikan setiap kajian yang dijalankan memberi manfaat kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar di negeri ini.
“Pahang adalah negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia, dikurniakan khazanah biodiversiti yang luar biasa, dari Taman Negara, Tasik Chini, ke hutan simpan kekal dan kawasan tanah tinggi. Kekayaan biodiversiti ini bukan sahaja aset ekologi, malah menjadi sumber ilmu, pembangunan komuniti, dan daya tarikan pelancongan lestari.
“Bengkel ini berperanan penting untuk menambah baik sistem pengurusan permohonan kajian, agar setiap penyelidikan dijalankan dengan lebih telus, teratur, berintegriti, dan akhirnya memberi manfaat kepada negeri serta rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru para peserta untuk menjadikan bengkel ini platform bertukar pandangan, mencari solusi, dan melakar hala tuju yang lebih mantap bagi pengurusan penyelidikan biodiversiti negeri.
“Saya berharap bengkel ini dapat menambah baik garis panduan permohonan kajian, mewujudkan sistem kelulusan yang lebih cekap dan mesra penyelidik, memastikan hasil kajian dapat dimanfaatkan dalam dasar negeri, pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan mampan.
“Oleh itu, saya berharap segala pengetahuan, modul dan garis panduan yang diperkenalkan dalam bengkel ini dapat digunakan secara konsisten dalam tugasan harian. Lebih penting lagi, saya berharap jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang bengkel ini terus diperkukuh demi memastikan proses pengurusan permohonan kajian mampu dilaksanakan secara lebih efisien, telus dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Bengkel Pemantapan Pengurusan Permohonan Kajian Negeri Pahang Tahun 2025 di Hotel Zentih. -PAHANGMEDIA

