Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 23 DISEMBER 2025 : Loji Rawatan Air Karak Indah (LRA Karak Indah) dilihat telah memainkan peranan penting dalam menstabilkan bekalan air di sekitar Karak, Bentong dan Lanchang, Temerloh.
Loji yang merupakan loji rawatan air terbaharu di Negeri Pahang itu sekali gus memberi manfaat langsung kepada ribuan pengguna di kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, pembinaan dan pengoperasian LRA Karak Indah merupakan antara pelaburan berterusan yang dilaksanakan oleh PAIP dalam memastikan sistem bekalan air yang lebih stabil, selamat dan berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang.

Perkara itu didedahkan ketika lawatan media ke loji berkenaan sempena Program Jalinan Mesra: Media Pahang x PAIP yang berlangsung di sini, hari ini.
“Lawatan ke Loji Rawatan Air Karak ini memberi ruang kepada rakan media untuk melihat sendiri operasi loji, cabaran teknikal yang dihadapi serta pelaburan berterusan yang dilaksanakan oleh PAIP dalam memastikan sistem bekalan air yang lebih stabil, selamat dan berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Dalam pada itu katanya, program libat urus bersama media ini merupakan sebahagian daripada pendekatan keterbukaan dan ketelusan PAIP dalam berkongsi perkembangan semasa pelaksanaan Transformasi Air Pahang (TAP), iaitu pelan menyeluruh Kerajaan Negeri Pahang bagi menangani isu bekalan air secara sistematik dan berfokuskan keperluan rakyat.

Melalui TAP, PAIP menyasarkan penyelesaian 90 peratus masalah bekalan air di kawasan blackspot menjelang akhir 2026, selain memberi fokus kepada penukaran paip-paip usang, pengurangan kadar Non-Revenue Water (NRW) serta pendigitalan perkhidmatan.
Tambahnya lagi, PAIP amat menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berfakta kepada rakyat, khususnya berkaitan inisiatif penambahbaikan perkhidmatan bekalan air di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
“Pelaporan yang bertanggungjawab dan membina ini amat penting dalam membina kefahaman awam serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif dan perancangan masa hadapan sektor bekalan air di Negeri Pahang.
“Sokongan rakan media bukan sahaja membantu menyampaikan maklumat kepada rakyat, malah berperanan sebagai jambatan komunikasi yang menghubungkan PAIP dengan masyarakat,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

