Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 JUN 2025 : Mesyuarat Majlis Penasihat Perhimpunan Antara ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) ke-8 menutup tirainya hari ini dengan kejayaan merumuskan beberapa syor strategik bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam memerangi ancaman dadah di rantau ASEAN.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari yang telah menghimpunkan 43 delegasi negara ASEAN yang hadir bagi memperkukuhkan kerangka dasar bersama serta mengukuhkan komitmen terhadap pendekatan bersepadu dan inklusif dalam menangani isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Pengerusi Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD), YB Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor berkata, mesyuarat selama dua hari ini telah merintis haluan baharu dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani jenayah berkaitan dadah.
“Apa yang telah kita capai sepanjang dua hari ini adalah jauh lebih besar daripada kerja rutin sebuah jawatankuasa.
“Kita telah merintis haluan baharu bagi kerjasama parlimen dalam menangani salah satu cabaran keselamatan dan kesihatan awam yang paling mendesak di rantau kita.

“Melalui perbahasan yang kukuh, kompromi yang bijaksana, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap visi bersama, kita telah menghasilkan keputusan yang akan bergema di sepanjang koridor parlimen masing-masing dan, yang lebih penting, dalam komuniti yang kita wakili,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Penutup Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) Ke-8 di Hotel Zenith yang turut dihadiri, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin
AIPACODD ke-8 ini sekali lagi mengukuhkan peranan AIPA sebagai platform penting dalam memperkasa suara legislatif ASEAN dalam menangani isu-isu sosial serantau secara bersepadu dan mampan.
Seramai 43 delegasi turut melawat Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi serta Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan pada sebelah petang.
Pada sebelah malam pula, delegasi berkenaan akan meneruskan lawatan keliling Bandar Kuantan termasuk ke Menara Kuantan 188. – PAHANGMEDIA

