Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 JUN 2025 : Pembinaan 286 buah rumah Projek Rumah Makmur Fasa 1 di Kampung Tiram dijangka dapat disiapkan pada Mac tahun hadapan.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), setakat Mac, kemajuan kerja fizikal di tapak projek telah pun mencapai 44 peratus.
“Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) mengambil maklum berhubung satu hantaran video berdurasi 20 saat yang dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok @lily__petals pada 9 Jun 2025 (Isnin) yang memaparkan keadaan semasa Projek Rumah Makmur di Kampung Tiram, Kuantan serta mengutarakan beberapa persoalan berkaitan status pelaksanaan projek.
“Sebagai makluman, LPHP telah menjalankan lawatan tapak ke projek berkenaan pada 14 April 2025 bagi menilai status semasa pembinaan. Hasil lawatan tersebut telah direkodkan dalam satu laporan penemuan dan dikemukakan kepada pihak pemaju, Nilaitek (M) Sdn. Bhd., bertarikh 22 April 2025 untuk tindakan penambahbaikan segera.
“Sehingga Mac 2025, kemajuan kerja-kerja fizikal di tapak telah mencapai 44 peratus. Keseluruhan projek dijangka siap menjelang Mac 2026, tertakluk kepada kelulusan teknikal serta pelaksanaan yang lancar oleh pihak pemaju dan agensi berkaitan,” menurut kenyataan tersebut.
Pihak LPHP juga telah meminta pihak pemaju untuk menambah jumlah pekerja di tapak bagi memastikan kerja pembinaan dapat berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan serta menyatakan pemahaman terhadap kebimbangan yang telah disuarakan.
“Dalam surat bertarikh 22 April 2025 itu, LPHP turut memohon agar pihak pemaju menambah bilangan pekerja di tapak bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat berjalan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Projek Rumah Makmur Kampung Tiram ini melibatkan pembangunan Fasa 1 yang merangkumi sebanyak 286 unit rumah.
“LPHP ingin menjelaskan bahawa pihak kami amat memahami kebimbangan yang disuarakan dan menghargai keprihatinan orang awam terhadap isu perumahan rakyat. Justeru itu, kami komited untuk memberikan maklumat yang telus serta memastikan tindakan susulan yang wajar diambil agar projek ini dapat disempurnakan demi kepentingan pembeli dan rakyat secara keseluruhannya.
“LPHP juga amat menyedari beban kewangan yang ditanggung oleh pembeli, terutamanya mereka yang telah mula membuat bayaran pinjaman perumahan. Sehubungan itu, LPHP akan memantau perkembangan projek ini dan melaksanakan tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, pihak LPHP juga sentiasa memandang serius perkembangan projek berkenaan dan menghargai keperihatinan masyarakat terhadap isu perumahan rakyat di negeri ini.
“Sekali lagi kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan akan terus berusaha memastikan setiap projek perumahan di bawah seliaan LPHP berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial berkenaan keluhan pembeli dan pertanyaan orang ramai berkenaan status projek perumahan rakyat tersebut. -PAHANGMEDIA

