Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 DISEMBER 2025 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menggerakkan 213 anggota dan pegawai pemeriksa harga bagi pemantauan harga barangan keperluan sempena Sambutan Krismas 2025 di seluruh negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang, pemantauan selama lima hari ini dijalankan dibawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) berkuat kuasa hari ini.

“Menjelang sambutan perayaan Krismas 2025 yang akan disambut pada 25 Disember ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah turun padang bagi memantau harga sebenar pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuasa dari 23 Disember hingga 27 Disember 2025.
“Tempoh pelaksanaan adalah selama lima hari iaitu dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan, dan dua hari selepas perayaan. Pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi memastikan keseimbangan kepentingan pengguna dan peniaga.

“KPDN turut mengingatkan kehadiran pegawai-pegawai penguatkuasa di lokasi terpilih dan strategik seperti pasar awam, pasar tani, dan pusat membeli-belah pada musim perayaan ini. Langkah ini diambil bagi memastikan pemantauan serta pelaksanaan skim dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata terdapat sembilan jenis barangan di senaraikan di bawah kawalan di Semenanjung Malaysia dalam tempoh berkenaan melibatkan barangan yang merekodkan permintaan tinggi semasa perayaan dan turut dilabelkan dengan tanda harga bewarna biru.

“Sebanyak sembilan jenis barangan dikawal di Semenanjung dan barangan terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah (China), tomato serta cili merah
“Lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar, dan ubi kentang import (China), dengan paras harga maksimum ditetapkan di peringkat pemborong dan peruncit.
“Barangan yang terlibat akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang dikawal di bawah skim ini dan untuk Pahang kita pakai stiker biru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasaraya Lotus hari ini.
Beliau sebelum itu telah melakukan pemeriksaan barangan di empat pasaraya dan tiga premis didapati melakukan kesalahan dari segi timbangan.
“Kalau lebih (timbangan) itu saya ucap terima kasih. Kalau barangan itu, timbang dia tak cukup, kita ambil tindakan. Bagi saya, kalau katakan sukatan itu dalam satu kilo, kurang dari 5 peratus saya terima. Kalau kurang, lebih dari 5 peratus bagi saman,” katanya.
Mengulas mengenai kes penipuan timbangan strawberi yang dilaporkan berlaku di Cameron Highlands, beliau berkata ia kini dalam siasatan pihaknya.
“Kita ada satu aduan dari Cameron Highlands mengenai satu orang pembeli dan dia membeli strawberry dengan harga satu kilo (kilogram) tapi hanya dapat tujuh ratus gram. YAB Menteri Besar ambil berat tentang hal ini dan kita tengah siasat.
“Saya harap peniaga jangan ambil kesempatan. Kalau jual barang dengan kurang (timbangan) kalau individu kita boleh denda RM100,000, syarikat RM250,000 So, jangan ambil kesempatan ini untuk mencari untung,” katanya. -PAHANGMEDIA

