Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 JUN 2025: Hari kedua sidang Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) Ke-8 berlangsung penuh dinamik, saksikan kesinambungan kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN dalam menangani isu dadah rentas sempadan.
Mesyuarat AIPACODD ini telah dipengerusikan oleh Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, yang memainkan peranan utama dalam mengemudi perbincangan ke arah kesepakatan dasar serantau membanteras dadah berbahaya.

Bertemakan Uniting Parliaments For An Inclusive And Sustainable ASEAN In Addressing Contemporary Drug Challenges, mesyuarat AIPACODD ini menzahirkan tekad bersama barisan parlimen negara-negara ASEAN untuk memainkan peranan yang lebih aktif, inklusif dan mampan dalam menangani isu dadah yang semakin mencabar.
Mesyuarat yang disertai oleh 43 delegasi dari negara anggota AIPA turut menyaksikan pelbagai sesi yang menggariskan keperluan kepada tindakan serantau yang lebih mantap, penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, serta pembentukan dasar berasaskan bukti dan pemerkasaan legislatif.
Antara negara yang terlibat dalam mesyuarat ini termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia. -PAHANGMEDIA

