Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 JUN 2025 : Penganjuran Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) Ke-8 di Pahang sebagai kesempatan mempromosikan tempat menarik di negara ini.
Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, negara luar perlu dimaklumkan bahawa negara ini tidak berkisar tentang Kuala Lumpur sahaja tetapi turut mempunyai banyak lagi destinasi menarik.
“Tahun ini saya mengambil kesempatan untuk promote negeri-negeri dan semua rakyat Asean harus tahu bahawa Malaysia ini bukan sahaja Kuala Lumpur tetapi Malaysia mempunyai keindahan yang amat luar biasa.
“Kita bermula dengan Kuching, bandar yang amat damai, cantik, indah. Kemudian kita bergerak ke Selangor yang lebih vibrant, commercial, dan energetic dari segi manusianya .
“Dan hari ini kita di Kuantan, Pahang, dan kita nak tunjukkan Pahang ini satu state yang very concerned dengan isu-isu manusiawi. Sebab itu soal dadah, soal akhlak, soal menjiwai kehidupan alam sekitar, ada di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Pembukaan Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) Ke-8 di Hotel Zenith yang turut dihadiri, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Tambah beliau Pahang turut dipilih untuk menjadi tuan rumah AIPACODD kali ini atas faktor keperihatinan yang dizahirkan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Apatah lagi Tuanku Sultan sendiri amat mementingkan isu-isu pembangunan manusia ini. Sebab itu kita bawa perbincangan, conference berkenaan dengan dadah ini di Pahang,” katanya.
Majlis yang ditubuhkan secara rasmi pada 2017 ini berlangsung dari 10 Jun hingga 12 Jun yang bertemakan Uniting Parliament for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges. -PAHANGMEDIA

