Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa sukacita dengan prestasi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Paduka Baginda bertitah, PKNP menunjukkan prestasi yang menakjubkan melibatkan kemajuan serta kejayaan melangsaikan hutang mengikut jadual.
“Prestasi yang cukup menakjubkan. Jadi teruskan dan tingkatkan prestasi baik dari atas sampailah ke bawah supaya dapat urus tadbir setiap agensi khususnya PKNP dengan sebaik mungkin.

“Lama tak dengar berita PKNP maju dan tak ada hutang. Selalunya banyak agensi ni banyak hutang, tapi alhamdulillah saya dimaklumkan di Pahang ini kebanyakkan agensi tidak banyak hutang. Kita begitu banggalah dengan prestasi,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyantuni pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di perkarangan Kompleks Teruntum.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), YH. Dato’ Mohd Faizal Jaafar.
Menurut YH. Dato’ Mohd Faizal, PKNP telah berjaya menyelesaikan hutang sebanyak RM220 juta kepada pihak bank mengikut jadual yang ditetapkan.
“Sebelum ini PKNP ada mempunyai hutang dengan financial institution atau bank tetapi telah pun kita selesaikan pada 2 tahun lepas.
“Kita telah selesaikan last tranches kita dengan CIMB Bank sebanyak RM60 juta daripada keseluruhan balance sewaktu YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy menjadi Menteri Besar pada 2018, lebih kurang ada RM220 juta.

“Sekarang ini kita ada sikit sahaja (hutang) dengan Kerajaan Negeri, lebih kurang RM7 juta dan insyaAllah kita boleh selesaikan pada tahun ini,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan untuk PKNP bergerak maju pada masa hadapan memandangkan ia kini telah bebas daripada belenggu hutang.
“Mudah-mudahan selepas ini PKNP akan bergerak maju sebab selepas ini apa sahaja kita buat, kita business, kita buat keuntungan, duit itu kita akan dapat simpan untuk saving kita dan seterusnya bergerak ke hadapan.
“Dalam for the past 20 years kita berada dalam hutang, so tak boleh bergerak sangat, sekarang ini masa untuk kita bergerak bila hutang itu dah tak ada. Lebih bebas sebab kita dah tak ada komitmen yang perlu dibayar setiap bulan, to the bank especially,” katanya. -PAHANGMEDIA

