Oleh: Syafiqah Jamaluddin
LIPIS, 28 OKTOBER 2026 : Sebanyak 10 Rumah Rakyat Pahang diserahkan kepada masyarakat Orang Asli di tiga kampung, manakala RM20,000 diluluskan bagi membaik pulih dewan Kampung Beletik menerusi Jelajah Aspirasi Pahang1st DUN Jelai.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, lawatan ke empat kampung itu bertujuan meninjau kebajikan penduduk serta mengenal pasti keperluan mereka.
Menurutnya, tiga kampung Orang Asli yang dikunjungi ialah Kampung Koyan, Kampung Pak Senam dan Kampung Sungai Padi, manakala Kampung Beletik merupakan perkampungan tradisional Melayu.

“Di Kampung Koyan, tiga buah rumah telah kita serahkan kunci, diikuti lima buah rumah di Kampung Pak Senam dan tiga buah rumah di Kampung Sungai Padi,” katanya.
Selain penyerahan rumah, bantuan barangan dapur turut diagihkan kepada hampir 180 ketua isi rumah di Kampung Koyan, 150 keluarga di Kampung Pak Senam dan 99 keluarga di Kampung Sungai Padi.
Beliau berkata, bantuan menerusi inisiatif Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terpelihara.
“Usaha ini bukan kali ini sahaja, sebaliknya akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan kebajikan, kepentingan dan kehidupan masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada penyediaan kemudahan asas di kawasan pedalaman, termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air bagi meningkatkan keselesaan penduduk.
Sementara itu, lawatan ke Kampung Beletik menyaksikan penyampaian 40 kampit makanan kepada penduduk yang memerlukan ketika kunjungan ke masjid kampung berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan RM20,000 bagi kerja-kerja baik pulih dewan kampung itu diluluskan susulan permohonan yang disuarakan penduduk ketika sesi ramah mesra.
Menurutnya, Jelajah Aspirasi Pahang1st memberi peluang kepada barisan kepimpinan negeri turun padang, mendengar sendiri permasalahan penduduk dan mengambil tindakan terhadap keperluan yang dikenal pasti.
“Dengan usaha berterusan ini, kita berharap dapat meringankan beban rakyat serta memastikan kebajikan dan pembangunan penduduk di setiap daerah terus diberi perhatian,” katanya. -PAHANGMEDIA

