Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 APRIL 2025 : YBhg. Dato’ Haji Fadzilla Salleh telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang menggantikan YB. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.
Menurut hantaran di media sosial Jabatan Perkhidmatan Awam, penempatan ini berkuatkuasa hari ini dan watikah penempatan ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz.

Turut menerima watikah penempatan hari ini, YBhg. Dato’ Hamadan @ Hamdan Hussin sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Turut ditempatkan sebagai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang yang baharu, YBhg. Dato’ Razihan Adzharuddin yang sebelum ini merupakan Datuk Bandar Kuantan.

Majlis yang diadakan di pejabat YBhg. Tan Sri KPPA bagi menyampaikan watikah penempatan kepada 12 pegawai kanan ini turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.
Menurut hantaran tersebut, pihak JPA turut menyampaikan ucapan tahniah serta mengucapkan selamat menjalankan amanah dan tanggungjawab demi perkhidmatan awam yang cemerlang kepada semua pegawai kanan terlibat. -PAHANGMEDIA

