Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 09 APRIL 2025 : YB. Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, memulakan tugas rasminya hari ini dengan merekodkan kehadiran melalui sistem perakam waktu digital (clock in) di Aras 6, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini.
Beliau tiba pada jam 8.45 pagi dan disambut oleh barisan pegawai kanan pentadbiran negeri, antaranya YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato’ Gs. Dr. Mohd Zakaria Ibrahim.
Selesai sesi perakam waktu, Dato’ Indera Nazri turut mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar.

Agenda diteruskan dengan Majlis Serah Terima Tugas YB. Setiausaha Kerajaan Pahang antara Dato’ Indera Nazri dan mantan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, yang turut disaksikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang.
Majlis ringkas tetapi penuh simbolik itu diakhiri dengan bacaan doa selamat sebagai tanda permulaan rasmi Dato’ Indera Nazri dalam menerajui pentadbiran tertinggi Kerajaan Negeri Pahang.
Untuk rekod, Dato’ Indera Nazri sebelum ini menyandang jawatan Pegawai Kewangan Negeri Pahang, dan dilantik menggantikan Dato’ Sri Haji Zulkifli yang bersara wajib selepas menabur bakti selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam. -PAHANGMEDIA

