Oleh: Khairul Azrin
Foto : Naim Aiman
LIPIS, 28 OKTOBER 2026 : Kerajaan Pahang meluluskan sumbangan RM20,000 kepada komuniti FELDA Sungai Koyan 1, 2 dan 3 bagi memenuhi keperluan setempat menerusi Jelajah Aspirasi Pahang 1st bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam meluluskan sumbangan itu ketika mengadakan pertemuan bersama kepimpinan ketiga-tiga rancangan FELDA berkenaan di Dewan JPKK FELDA Sungai Koyan 1.

Dalam program sama, seramai 62 penduduk turut menerima sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian, khususnya golongan yang memerlukan.
Jelajah berkenaan turut merangkumi taklimat oleh pihak FELDA mengenai perkembangan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), yang menjadi antara agenda penting dalam memenuhi keperluan perumahan generasi baharu peneroka.

Pertemuan itu menjadi platform bagi kepimpinan negeri mendengar permohonan dan mengenal pasti keperluan masyarakat setempat, selain membincangkan isu pembangunan yang memerlukan perhatian berterusan.
Jelajah Aspirasi Pahang 1st yang digagaskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merupakan pendekatan kerajaan negeri untuk mendekati rakyat secara langsung, memahami permasalahan setempat dan memastikan aspirasi masyarakat diberi perhatian. – PAHANGMEDIA

