Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 27 OKTOBER 2026: Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan segera RM30,000 bagi menambah baik kemudahan penyaman udara di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kota, di sini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu diluluskan selepas beliau dimaklumkan mengenai keperluan berkenaan ketika mengadakan lawatan sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, hari ini.

Katanya, keputusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani keperluan rakyat dengan segera, khususnya perkara yang boleh diselesaikan tanpa perlu menunggu lama.
“RM30,000 saya luluskan serta-merta tadi untuk penghawa dingin dewan kerana dimaklumkan keadaan di sini panas. Apabila ditanya jumlah peruntukan yang diperlukan, mereka memaklumkan sekitar RM30,000 sudah mencukupi.

“Sebenarnya penghawa dingin sudah ada, cuma perlu ditambah baik lagi,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh serta ketua-ketua jabatan.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, hasil tinjauan terhadap beberapa projek pembangunan di DUN Jelai mendapati pelaksanaannya secara keseluruhan berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.
Beliau berkata, projek kolam takungan hiliran di Kuala Medang kini mencapai kemajuan 98.5 peratus dan dijangka siap dalam masa terdekat, manakala pembinaan Dewan Komuniti Jelai pula mendahului jadual.

“Saya dapat melihat sendiri perkembangan projek-projek di dalam DUN Jelai dan boleh dikatakan semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, meskipun terdapat projek yang masih di peringkat awal, termasuk Pusat Khidmat DUN Jelai, projek-projek lain menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

Mengulas mengenai Jelajah Aspirasi Pahang 1st, beliau berkata, pendekatan turun padang itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk memantau pelaksanaan projek pembangunan serta mengenal pasti masalah rakyat secara langsung.
“Saya sudah beritahu rakan-rakan Exco, mana-mana perkara yang boleh diselesaikan dengan segera, selesaikan dengan segera,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dalam program itu turut membolehkan isu berkaitan pentadbiran dan permohonan rakyat dikenal pasti untuk tindakan lanjut.-PAHANGMEDIA

