Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 28 OKTOBER 2026 : Kerajaan Pahang mengenakan moratorium selama 10 tahun terhadap rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang bagi memastikan kemudahan perumahan mampu milik itu terus dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan rumah berkenaan dijual semula dalam tempoh singkat untuk mengaut keuntungan.
“Matlamat kerajaan untuk membantu mereka yang tidak ada rumah. Walaupun kita longgarkan syarat, ada yang sudah mempunyai rumah tetapi mahu membeli rumah kedua.

“Kita mengambil kira pelbagai keadaan, termasuk mereka yang mempunyai ramai anak atau lebih daripada seorang isteri.
“Apabila kita dapati ada yang menjual rumah tersebut, kita kenakan moratorium 10 tahun. Selepas itu, boleh jual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang Kuala Lanar (Fasa 3) Daerah Lipis bertempat di Dewan Bankuet Jubli, Kuala Lipis, di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, Tuan Lee Chin Chen serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada penjawat awam, menjadikan harga rumah berkenaan RM135,000.
Selain PR1MA Pahang, kerajaan negeri turut menyediakan Rumah Rakyat Pahang pada harga RM80,000 sebelum bantuan diberikan kepada penerima yang layak, sekali gus membolehkan rumah itu ditawarkan secara percuma kepada golongan sasaran yang memenuhi syarat ditetapkan.
Sementara itu, PR1MA Pahang Kuala Lanar, yang turut dikenali sebagai Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya, dibangunkan oleh Kejuruteraan Seberkas Sdn. Bhd. di atas tanah kerajaan seluas 31 hektar.

Projek bernilai RM115 juta itu merangkumi tiga fasa dengan keseluruhan 426 unit rumah.
Sebanyak 132 unit rumah berkembar satu tingkat bagi Fasa 3 siap sepenuhnya pada 10 Julai lalu, manakala 83 penerima menerima kunci kediaman masing-masing pada majlis berkenaan.
Beliau turut berpesan kepada penerima supaya menjaga kediaman masing-masing dengan baik dan menghargai kemudahan yang disediakan kerajaan.
“Tahniah kepada penerima rumah, jaga rumah elok-elok. Jangan tuan-tuan rasa macam mudah dapat, tak nak jaga rumah ini. Ramai lagi yang berebut untuk dapatkan rumah PR1MA ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

