Oleh : Safiah Hanani Norhalizan & Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 11 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan Masjid Baharu Kampung Durian Hijau, Jerantut, di sini hari ini.
Paduka Baginda turut berkenan memasyhurkan masjid berkenaan kepada nama Masjid Abdulrrahman Ibn Auf.

Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan barisan Ahli Majis Mesyuarat Kerajaan.

Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan Acara Menandatangani Papan Tanda Perasmian Masjid Baharu Kampung Durian Hijau. Bersesuaian dengan pemasyhuran nama masjid berkenaan, Paduka Baginda turut menyeru agar menjadi seperti Abdulrrahman Ibn Auf.
“Jadilah seperti Abdulrrahman Ibn Auf! Suburkan budaya memberi, hulurkan tangan kepada yang memerlukan dan jadikan kemewahan sebagai penyuluh jalan kebajikan, bukan sekadar membina harta tetapi membina ummah,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 golongan memerlukan di Kampung Durian Hijau.-PAHANGMEDIA

