Oleh : Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 11 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan kepada pemimpin agar berhenti menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R).
Paduka Baginda menyambut baik kenyataan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan.
“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. ‘Berdialoglah’ guna akal dan hati, bukannya ‘bermonolog’ guna nista dan benci,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Durian Hijau, Masjid Rahman Ibn Auf, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Paduka Baginda turut bertitah, sejarah telah membuktikan bahawa pertelingkahan kaum dan agama jika tidak dibendung dengan bijaksana mampu membawa malapetaka.
“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Maka, saya menyeru kepada semua pemimpin, khususnya pemimpin-pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukannya mencetus api yang membakar hubungan harmoni yang telah lama terbina,” titahnya lagi.
Paduka Baginda turut menzahirkan dukacita atas tindakan suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama dan mencabar kemuliaan Islam seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.
“Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam di negeri ini, saya menyeru agar setiap Muslim memainkan peranan mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan. Janganlah kita berdiam diri apabila agama kita dihina,” titah Baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kepada semua rakyat bahawa keharmonian yang dikecapi kini adalah hasil daripada sikap saling menghormati dan toleransi.
“Janganlah kita cepat melatah dan membuat spekulasi. Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan.
“Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

