Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahfitri Zulkifli
ROMPIN, 11 MAC 2025 : Orang awam dapat menyalurkan aduan secara terus berkenaan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan melalui platform khusus WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, platform ini diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 3 Mac lepas.
“Jika terdapat aduan berkenaan makanan basi, kotor atau sebagainya, pengguna boleh WhatsApp aduan secara terus di talian 012-8484378.
“Aduan ini akan sampai ke ibu pejabat dan dimasukkan ke dalam Sistem Pengurusan Aduan (SISPA) bagi tindakan lanjut.
“Ia melengkapi platform lain seperti SISPA, Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), e-mel rasmi, serta aduan terus ke Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut mengingatkan pengunjung supaya memeriksa keadaan makanan dan persekitaran premis perniagaan terlebih dahulu sebelum membeli makanan bagi mengelakkan makanan tercemar.
“Pesanan kepada pembeli, seperti yang saya sarankan sebelum ini, pembeli perlu bijak memilih makanan. Perlu tengok keadaan, bau makanan bagi kenalpasti awal sama ada ia bersih dan selamat di makan.
“Kepada peniaga pula, saya menyarankan supaya peniaga perlu ikhlas dan meniaga barang yang bersih sebab kita nak bagi orang makan, nak dapat rezeki yang baik,” katanya.
Tambah beliau, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) juga melakukan pemeriksaan secara mengejut di mana-mana bazar Ramadan di seluruh negeri ini bagi memastikan tahap kebersihan makanan yang dijual terjamin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan apron kepada 140 peniaga bazar Ramadan Muadzam Shah bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

