Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 FEBRUARI 2025 : “Saya tidak mahu kehadiran saya ini dipolitikkan ini kerana ia akan memberikan imej yang tidak baik kepada institusi diraja,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Paduka Baginda bertitah demikian berkenaan kehadiran baginda pada Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat yang diadakan bagi menunjukkan solidariti rakyat Pahang kepada Institusi Diraja Pahang.

“Saya nak isytihar kehadiran saya ini semata-mata untuk kita beramai-ramai hadir di satu malam yang boleh kita sembahyang bersama, sembahyang maghrib, sembahyang hajat, baca Yassin, dan insyaAllah sembahyang Isyak berjemaah. Itu sahaja.
“Saya rasa terharu dan terpanggil untuk beri ucapan secara ringkas sebelum azan Isyak ini nanti kerna saya dimaklum iaitu ramai yang minta saya hadir pada malam ini.
“Atas dasar itu saya hadir dgn hati untuk bertahlil bersama dan sembahyang bersama
dan saya tidak mahu kehadiran saya ini dipolitikkan kerana ini tidak akan memberi satu gambaran atau satu naratif yang baik kepada institusi diraja,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam titah turut menyatakan baginda berkenan berangkat ke program ini semata-mata untuk bermunajat dan beribadah bersama rakyat.
“Saya datang di sini semata-mata untuk bermunajat, menyembah kepada Allah SWT, berdoa supaya kita di Pahang, rakyat Pahang akan sentiasa diberkati AllahSWT, sentiasa dilindungi Allah SWT, dan yang penting sentiasa dirahmati Allah SWT.
“Saya selaku Sultan Pahang seperti mana yang tuan-tuan dan puan-puan tahu, saya sentiasa mendampingi rakyat, di mana sahaja. Tak kira siapa sekali pun. Baik yang tinggi, yang pendek, yang kaya, yang miskin, yang putih, yang hitam, yang tua, yang muda, dan sebagainya.
“Dan saya tak pernah melibatkan diri dalam politik kepartian, daripada dahulu, kini, dan akan datang. Tolonglah ingat itu ya,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli hadir ke Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

