Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 12 NOVEMBER 2026 : Peningkatan hasil Kerajaan Negeri Pahang bukan sekadar mencerminkan prestasi kewangan yang baik, malah diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, peningkatan hasil negeri membolehkan kerajaan memperluas agenda kebajikan yang merangkumi pelbagai peringkat kehidupan rakyat.
Menurut beliau, usaha meningkatkan hasil negeri dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan rakyat serta memastikan setiap pendekatan yang diambil tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
“Apabila hasil negeri meningkat, kita mahu pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk program dan bantuan. Kita perlu ada peruntukan dan dana supaya dapat menambah baik apa juga usaha yang dilaksanakan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat.
“Alhamdulillah, hasil usaha yang kita lakukan, kita dapat memperkenalkan pelbagai bantuan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang kini dikenali sebagai Inisiatif Makmur (IM) Pahang,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan merangkumi bantuan kepada ibu yang melahirkan anak, bantuan persekolahan, pendidikan tinggi serta sokongan kepada pesakit kronik yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada golongan yang belum memiliki rumah menerusi pelaksanaan Rumah Rakyat Pahang (RRP), termasuk penyediaan kediaman pada harga mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan anak muda.
Dalam bidang pendidikan pula, katanya, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan kepada pelajar yang memasuki tahun pertama pengajian di institusi pengajian tinggi, selain pelbagai bentuk bantuan sejak di bangku persekolahan.
Menurut beliau, pelaksanaan bantuan berkenaan melibatkan jumlah penerima yang besar serta memerlukan komitmen kewangan yang tinggi, namun ia penting bagi memastikan anak-anak Pahang berpeluang melanjutkan pendidikan tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan.
Jelasnya, menerusi program Jelajah Aspirasi Pahang 1st, agenda kesejahteraan rakyat turut diperkasakan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, bukan sahaja di kawasan bandar, malah sehingga ke kawasan luar bandar.
Beliau berkata, pengurusan kewangan negeri yang baik bukan hanya diukur berdasarkan peningkatan hasil, tetapi juga sejauh mana hasil berkenaan dapat dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk manfaat dan kesejahteraan hidup.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan ke sekitar Pusat Agro Keloi sempena siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, di sini. -PAHANGMEDIA

