Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 FEBRUARI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini semalam.
Paduka Baginda yang tiba pada 7.15 malam telah berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum menunaikkan solat sunat hajat dan bacaan Yassin, doa selamat, seterusnya solat Isyak sebelum berangkat pulang.

Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Program anjuran Kerajaan Negeri Pahang sebagai tanda solidariti rakyat Pahang kepada Institusi Diraja Pahang turut diisi dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, YH.Dato’ Haji Badli Shah Alauddin.

Seramai hampir 4,000 orang dari pelbagai daerah di negeri ini hadir pada program yang bermula 7 malam sebagai manifestasi penyatuan rakyat Negeri Pahang yang bernaung di bawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan juga fahaman politik. -PAHANGMEDIA

