RAUB, 12 NOVEMBER 2026 : Sebanyak RM20,000 diluluskan bagi memperkukuh pelaksanaan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar (SKMJ), Raub.
Peruntukan berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib sempena siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, di sini.
Beliau mengumumkan peruntukan itu ketika mengadakan lawatan ke SKMJ yang aktif menerapkan pendidikan STEM seawal peringkat prasekolah.

Sumbangan berkenaan merupakan sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha memperkukuh pendidikan STEM, khususnya dalam menyemai minat murid terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi sejak usia muda.
Pelaksanaan program STEM di sekolah berkenaan diharap dapat merangsang kreativiti, membentuk pemikiran kritis serta memupuk budaya inovasi dalam kalangan murid, sekali gus melahirkan generasi celik STEM yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membangunkan potensi generasi muda menerusi pendidikan sebagai asas kepada kemajuan dan pembangunan negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

