Oleh : Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 27 FEBRUARI 2025 : Penjenamaan semula Kelab Klinik Guaman Syarie, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dapat memperkukuhkan lagi peranan undang-undang Syariah dalam masyarakat, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Menurutnya, penjenamaan semula itu juga bertujuan menjadikan kelab tersebut sebagai pusat rujukan utama bagi perkhidmatan guaman Syariah, khususnya dalam membantu masyarakat memahami hak dan tanggungjawab mereka dalam isu perundangan keluarga serta menangani keganasan rumah tangga secara lebih efektif.
“Dengan penjenamaan semula ini, kelab ini bukan sekadar menyediakan khidmat nasihat guaman, tetapi juga berperanan sebagai agen perubahan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keadilan dan keseimbangan dalam undang-undang Syariah,” katanya selepas merasmikan Seminar Perundangan Syariah Kebangsaan bertemakan “Keseimbangan Gender dan Pencegahan Keganasan Rumah Tangga” bertempat di UNIPSAS, di sini hari ini.

Program hasil kerjasama Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, Kelab Klinik Guaman Syarie, serta UniPSAS itu turut dihadiri Naib Canselor UniPSAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin.
YB. Dato’ Sabariah berkata, seminar yang dianjurkan sangat relevan dengan isu semasa terutama dalam usaha untuk menangani keganasan rumah tangga dan memupuk keseimbangan gender dalam masyarakat.
“Tiga perkara utama yang akan kita iaitu pencerahan mengenai prinsip Syariah dalam menangani keganasan rumah tangga, kepentingan keseimbangan gender dalam masyarakat, serta melahirkan agen perubahan bagi membanteras keganasan rumah tangga.
“Peserta seminar juga diberi pendedahan tentang mekanisme penyelesaian konflik dalam rumah tangga serta langkah-langkah pencegahan berlandaskan Syariah.
“Saya berharap seminar ini akan memberikan manfaat yang besar, membuka minda, dan membekalkan kita
semua dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk menangani isu yang sangat penting ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

