Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2025 : Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) terus memperkasakan ekonomi negeri dengan rancangan membangunkan pusat data bernilai RM450 juta di Pahang Technology Park, Gambang.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YH. Dato’ Mohd Faizal Jaafar berkata, projek tersebut adalah hasil usahasama dengan Fire Phoenix International (M) Sdn. Bhd. dan dijangka mengambil masa setahun hingga setahun setengah untuk direalisasikan selepas kelulusan diperoleh.
“YAB Menteri Besar telah membuat pengumuman bahawa pusat data akan dibina di Gambang. Memang betul, perjanjian telah pun ditandatangani antara pihak syarikat dan PKNP dan sekarang kita dalam proses untuk mendapatkan semua kelulusan sebelum ianya boleh dilaksanakan.
“Kita berharap ianya dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun ke setahun setengah daripada sekarang. Itu harapan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Soft Launch Sambutan 60 Tahun Penubuhan PKNP di Kompleks Teruntum, di sini, hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKNP, Datin Hajah Noraskin Jamaludin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNP, Encik Mohd Razif Abdul Malek.
Tambahnya lagi, pusat data terbabit dijangka akan menjadi pusat data pertama Pantai Timur yang akan menjadi platform berkaitan industri pertanian.
“Dan pusat data ini merupakan satu platform berkaitan dengan pertanian. Jadi apa-apa urusan berkaitan pertanian, platform inilah yang akan digunakan.
“Ini merupakan yang pertama di negeri Pahang dan mungkin yang pertama di Pantai Timur,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, PKNP turut memohon peruntukan sebanyak RM268.9 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi membangunkan kawasan perindustrian baharu di Gebeng dan Lipis.
“Dalam RMK-13 kita ada mohon peruntukan, InsyaAllah kalau diluluskan nanti oleh pihak Kementerian Ekonomi atau pihak persekutuan, kita nak bangunkan kawasan perindustrian baharu yang siap dengan infrastruktur.
“Maksudnya pelabur kalau dia datang dia sekadar ‘plug and play’. Semua infrastruktur telah disiapkan, mereka tinggal dapatkan kelulusan kebenaran merancang (KM) dan buat kilang terus.
“Fokus kita ialah kepada IKS (Industri Kecil dan Sederhana) kerana ia lebih mudah dan tidak memerlukan modal besar selain mendapat permintaan tinggi daripada pemain tempatan atau pelaburan langsung domestik (domestic direct investment),” katanya lagi.
Sementara itu, bagi meraikan ulang tahun Jubli Intan ke-60 PKNP, sebanyak 20 program telah dirancang termasuk Majlis Doa Selamat dan Ceramah Perdana di Masjid Sultan Ahmad Shah Satu, serta aktiviti sukan seperti Larian Tangga Kompleks Teruntum dan PKNP Fun Ride & Run 2025.
Sejak penubuhannya pada 27 Disember 1965, PKNP telah memainkan peranan utama dalam pembangunan negeri, termasuk pembinaan taman perumahan, pusat pertubuhan desa (PPD), serta kawasan perindustrian strategik. -PAHANGMEDIA

