Oleh : Ain Nadhirah Basha
ROMPIN, 26 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyerahkan bantuan Inisiatif Makmur (IM) Pahang kategori anak yatim bernilai RM100,000 kepada rumah anak yatim berdaftar di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan, bantuan sebanyak RM250 seorang ini melibatkan 400 orang anak yatim yang merupakan penghuni di rumah anak yatim.
“Kerajaan Negeri telah mengeluarkan sebanyak RM100,000 kepada tujuh buah pusat penjagaan anak-anak yatim. Anak yatim ini, seorang, akan menerima bantuan sebanyak RM250.
“Dan memang kita memilih tarikh hari ini (bagi penyerahan bantuan) sebab berdekatan dengan bulan puasa dan kita akan sampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.
“Penerima kita ikut kepada bilangan rumah anak yatim berdaftar. Kita ada banyak rumah anak yatim, ada 18 buah tapi yang benar-benar kita bagi adalah kepada yang betul-betul lengkap dengan pendaftaran, renew semula, ada tujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyerahan cek cura Inisiatif Makmur Pahang 2025 Bantuan Kepada Anak Yatim Berdaftar Di Bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Tambah beliau, bantuan ini juga akan disampaikan kepada baki 11 rumah anak yatim lagi sekiranya kelulusan pendaftaran baharu telah diperoleh.
“Walau bagaimana pun kita ada standby kepada rumah anak yatim yang dalam proses mendapatkan kelulusan pendaftaran baru, dalam 11 lagi,” katanya.
Beliau ketika ditemui turut mengingatkan pengusaha rumah anak yatim di negeri ini supaya mempercepatkan proses memperbaharui pendaftaran.
“Apa-apa kita kena ada kelulusan kerajaan. Kita minta rumah anak yatim ini segera renew, jangan tunggu expired betul, bila hampir (tarikh tamat) tu kita kena usaha untuk memperbaharui.
“InsyaAllah (dipermudahcara). Dari segi bahagian teknikal, majlis perbandaran, bomba, itu memang tak ada kompromi untuk keselamatan anak-anak yatim di tempat tersebut,” katanya. -PAHANGMEDIA

