Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 MEI 2026 : Sebanyak 3.029 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidiladha bermula 22 Mei hingga 2 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, berdasarkan unjuran AFA Prime Berhad, Lebuhraya KLK dijangka merekodkan sebanyak 2.186 juta kenderaan, manakala LPT1 menerima kira-kira 843,000 kenderaan dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, trafik puncak harian di Lebuhraya KLK dijangka mencecah sehingga 208,550 kenderaan sehari, manakala LPT1 pula dianggarkan menerima 105,577 kenderaan sehari.

“Ini menunjukkan ada peningkatan sebanyak 66 peratus di Lebuhraya KLK manakala 71 peratus di LPT1. Dan peningkatan ketara ini menuntut supaya pengguna jalan raya lebih berdisiplin, berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas demi memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar sepanjang musim perayaan,” katanya dalam sidang media yang diadakan sempena Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidiladha 2026 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang (Arah Timur), di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JPJ Negeri Pahang, Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Beliau juga berkata, penganjuran program advokasi itu amat signifikan dalam membudayakan keselamatan jalan raya serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya pematuhan undang-undang lalu lintas khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan ketara trafik di lebuh raya utama negara.

“Dan objektik advokasi ini, seperti biasa bila mana masuk sahaja musim perayaan, pertambahan jumlah kenderaan jalan raya bertambah kerana berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan bersama ahli keluarga dan sanak saudara masing-masing.
“Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan risiko kemalangan. Dan sekiranya pengguna jalan raya gagal mematuhi peraturan lalu lintas serta mengabaikan aspek-aspek keselamatan sepanjang pemanduan di jalan raya.
“Sehubungan itu, advokasi seperti ini memainkan peranan yang sangat penting sebagai medium untuk kita mendidik dan memberi peringatan secara berterusan kepada masyarakat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ Pahang turut melaksanakan Op Khas Hari Raya Aidiladha bermula semalam hingga 31 Mei ini melibatkan seramai 287 anggota penguatkuasa.
Katanya lagi, pemantauan turut dipertingkatkan di 36 kawasan ‘blackspot’ dan 25 ‘hotspot’ yang dikenal pasti sebagai kawasan mempunyai kadar kemalangan tinggi serta berpotensi mengalami kesesakan trafik di seluruh negeri termasuk di LPT1, Lebuhraya KLK dan jalan utama Persekutuan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited menyokong segala inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak JPJ Pahang dan agensi berkaitan seperti bomba, lebuhraya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak konsesi bagi memastikan pengguna jalan raya terpelihara.
“Kerajaan Negeri juga menyeru orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi jadual cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan oleh pihak AFA Prime Berhad bagi membantu melancarkan keadaan trafik sepanjang musim perayaan ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

